Dr. Afif Bahardin

KUALA LUMPUR – Undang-undang dan mekanisme sedia ada dalam menangani pemanduan di bawah pengaruh alkohol masih belum cukup dan boleh menangani masalah tersebut daripada terus berulang.

Lantaran itu, pindaan berkaitan undang-undang tersebut yang lebih ketat wajar dilakukan dengan kadar segera.

Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin berkata, kerajaan perlu memperkenalkan satu dasar baharu yang menetapkan sekatan penggunaan alkohol untuk waktu tertentu bagi mengurangkan statistik kemalangan di bawah pengaruh alkohol.

Menurutnya, kerajaan boleh mengambil pendekatan seperti mana di bandar Nelson, New Zealand yang memperkenalkan sekatan penggunaan alkohol bermula jam 9 malam hingga 7 pagi di lokasi-lokasi yang spesifik.

Dasar ini juga menetapkan denda yang berat kepada mereka yang minum alkohol atau berada dalam keadaan mabuk di tempat terbuka pada tempoh tersebut.

Katanya, ternyata dasar ini menjadikan pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol tidak berani untuk berada di atas jalan raya.

“Semestinya dasar ini memerlukan kerjasama daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pihak-pihak berkepentingan dalam usaha untuk memastikan jalan raya di negara selamat daripada bahaya akibat kecuaian sikap pemandu,” katanya yang mengulas mengenai kematian Mohaidin Gani Mohamad yang dirempuh oleh kenderaan yang dipandu di bawah pengaruh alkohol.

Allahyarham adalah kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

Afif menambah, beliau akan memastikan segala inisiatif dan dasar yang benar-benar efektif akan memberi kesejahteraan dan keselamatan kepada penduduk termasuk memperkenalkan sistem ini di Pulau Pinang.

Katanya, sudah tiba masanya kerajaan negeri menghentikan masalah ini daripada terus berlaku supaya tidak ada lagi nyawa yang tidak berdosa menjadi angka korban yang seterusnya akibat sikap kita yang cuai dan mementingkan diri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast