Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) bersalaman dengan peserta diiringi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali (tiga kanan), Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof (empat kanan), Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Dr. Zeti Aziz (kanan) dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Jalil Rasheed (dua kanan) ketika hadir pada Perasmian PNB Corporate Summit 2019 di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 30 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR- Perdana Menteri,  Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi mengingatkan syarikat milik kerajaan (GLC) supaya tidak bersaing secara langsung dengan sektor swasta terutamanya dalam perniagaan bukan teras.

Jelasnya, GLC perlu diurus secara profesional dan tidak boleh menyekat persaingan sektor swasta.

Landskap persaiangan harus dipastikan sihat supaya dapat membuahkan hasil yang terbaik, katanya.

“Kerajaan tidak berminat untuk menjalankan perniagaan. GLC mestilah berada di ruang di mana mereka boleh bersaing dengan pesaing-pesaing yang setaraf.

“Mereka tidak boleh menyesakkan pasaran dan bersaing secara langsung dengan sektor swasta terutamanya dalam perniagaan-perniagaan bukan teras.

“Korporat Malaysia mestilah memainkan peranan yang lebih besar dalam menghasilkan kekayaan dan nilai,” katanya menyampaikan ucapan khas bertajuk Korporat Malaysia sebagai Pengubah Pasaran dan Pemacu Ekonomi sempena Persidangan PNB 2019 di sini hari ini.

Tambah Mahathir, ketika ini GLC dan syarikat pelaburan kerajaan (GLIC) menceburi semua sektor ekonomi dan tegas Perdana Menteri, peranan GLC dan GLIC bukanlah untuk berebut peluang dengan sektor swasta.

Tambah Mahathir, GLC-GLC juga perlu mendokong sistem pendidikan sedia ada bagi melahirkan lebih ramai bakat tempatan.

Mereka juga perlu mengambil inisiatif untuk memperkasakan usahawan-usahawan yang akan menyumbang ke arah perkembangan sektor swasta.

“Kita juga perlu mengukuhkan institusi-institusi sedia untuk melahirkan bakat-bakat yang diperlukan dalam sektor awam dan swasta,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mahathir memberitahu terdapat ketidakseimbangan penyertaan di antara sektor awam dan swasta dalam korporat Malaysia hari ini.

Jelasnya, jika tidak dibetulkan semula, ia akan menjejaskan negara pada masa hadapan.

Dengan itu GLC dan GLIC katanya, perlu memberi fokus untuk membina institusi yang kukuh dan membangunkan infrastruktur dan dasar yang diperlukan untuk memacu pertumbuhan sekali gus menjadi pemangkin kepada kejayaan sektor swasta,

“Kita tidak boleh terus bergantung kepada status quo ini. Apa yang akan menjadi alat yang memacu pertumbuhan negara adalah korporat Malaysia dan ia juga akan menjadi pengubah pasaran,” katanya lagi.

Persidangan Korporat PNB ini julung-julung kali dianjurkan oleh sayap penyelidikan Permodalan Nasional Bhd., PNB Research Institute Sdn. Bhd.

Persidangan sehari itu menghimpunkan tokoh-tokoh korporat dan pakar-pakar ekonomi tempatan, serantau dan antarabangsa.

Yang turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Jalil Rasheed.- MalaysiaGazette