Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (tengah) diiringi Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Dasar dan Perancangan), Datuk Zahari Ibrahim (kiri) dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Konservasi), Datuk Fakhrul Hatta Musa (kanan) bercakap pada sidang media Operasi Bersepadu Khazanah di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Polis mengenalpasti penglibatan individu kenamaan (VVIP) dalam aktiviti pemburuan haram dan penyeludupan haiwan liar selain mengesan berbelas sindiket haram.

Bagaimanapun Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador tidak mendedahkan secara spesifik siapakah VVIP tersebut.

Sebaliknya beliau berkata, golongan itu berkemungkinan dalam kalangan ahli politik, pegawai kerajaan dan banyak lagi.

Beliau turut memberi amaran tidak akan ada pengecualian dilakukan terhadap golongan itu sekiranya aktiviti haram mereka berjaya dibanteras.

“Adanya VVIP terlibat dalam aktiviti pemburuan haram, saya amat serius dalam perkara ini sekiranya mereka dapat dikenal pasti. Saya akan pastikan senjata api mereka dirampas dan jika ditangkap di tempat kejadian. Tidak ada pengecualian .

“VVIP banyaklah, mungkin ahli politik, mungkin pegawai kerajaan, terbuka semua VVIP,” katanya ketika sidang media Operasi Bersepadu Khazanah di Bukit Aman hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Konservasi), Datuk Fakhrul Hatta Musa.

Demi memelihara alam flora dan faun, polis kata Abdul Hamid memberi bantuan sebanyak dua batolion melibatkan seramai 1,073 anggota Pasukan Polis Hutan yang dikenali sebagai Senoi Praaq untuk bersama-sama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan ) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia untuk menjayakan Operasi Bersepadu Khazanah yang tidak ditetapkan tempoh masanya.

Beliau dalam masa menegaskan keperluan kerajaan meluluskan hukuman mandatori sebat kepada penjenayah ‘hutan’ dan haiwan sebagai amaran dan pengajaran.

Ini kerana beliau khuatir Malaysia dihukum Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) sekiranya dilihat negara yang tidak serius dan mengambil bertanggungjawab penuh menangani pencerobohan hutan secara haram termasuk memburu haiwan eksotik.

“Kita berharap sangat peruntukan baru ini dapat dibentangkan dan dibentangkan di Parimen, sudah pastinya dengan adanya hukuman ini akan menakutkan dan menghindar mereka daripada meneruskan perbuatan kejam.

“PBB sedang memerhatikan sama ada kita sebuah negara bertanggungjawab atau tidak saya bimbang negara kita nanti akan dihukum. Sebab itu operasi ini penting bagi menunjukkan kita negara bertanggungjawab,” jelasnya. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.