Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai boleh dikategorikan sebagai calon muda.

Ketua Pembangkang itu berkata, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mempunyai beza usia 11 tahun dengan calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini yang berusia 66 dan itu dilihat sebagai kelebihan kepada BN.

“Datuk Seri Wee Jeck Seng muda, (baru) 55 tahun.

“Beza 11 tahun dengan calon PH, itu muda. Kamu ingat calon umur berapa 30 tahun ke?.

“Saya kata lebih muda daripada (calon PH),” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Ismail semalam memberikan jaminan bahawa calon BN akan lebih muda daripada Karmaine.

Bagaimanapun, BN semalam memuktamadkan bahawa bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai itu diangkat menjadi calon MCA di bawah BN.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Jeck Seng dipilih kerana khidmatnya kepada masyarakat setempat.

Malah katanya, Jeck Seng sangat popular dalam kalangan pengundi Tanjung Piai kerana rapat dengan penduduk tempatan.

“Dia sangat popular di Tanjung Piai kerana walaupun dia kaum Cina tapi dia dibesarkan di perkampungan Melayu dan sangat biasa dengan penduduk di situ.

“Dia pergi ke setiap kawasan malah di kalangan orang Melayu pun dia popular. Sebab itu kita letakkan dan dia dianggap calon Cina bagi Parlimen yang ketiga paling banyak undi di kawasan pengundi Cina,” katanya lagi.

Jeck Seng sebelum ini pernah dicalonkan oleh MCA untuk mempertahankan kerusi Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau tewas kepada Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, calon PH dari Bersatu dengan majoriti 524 undi.

Untuk rekod, beliau pernah menjadi wakil rakyat kawasan itu pada 2013 hingga 2018, dan sebelumnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas pada 2004 hingga 2008. -MalaysiaGazette