Daun ketum

PADANG BESAR – Pasukan Gerakan Am (PGA) mematahkan cubaan menyeludup 556 kilogram daum ketum apabila menahan dua lelaki, masing-masing seorang rakyat tempatan dan Thailand dalam Op Wawasan Kedah/Perlis hari ini.

Komander Briged Utara PGA, SAC Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, cubaan itu berjaya dipatahkan selepas sepasukan anggota yang membuat pemantauan terserempak dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero sedang bergerak masuk ke kawasan ladang pokok jati di sini dalam keadaan mencurigakan.

“Kenderaan itu bergerak menghampiri pagar sempadan berhampiran tiang 864, dan apabila dihampiri dan diperiksa kami mendapati kenderaan itu membawa 20 bungkusan guni berwarna putih mengandungi daun-daun hijau disyaki daun ketum.

“Dua lelaki yang ditahan itu masing-masing berumur 24 dan 37 tahun dan mereka dipercayai cuba menyeludup daun ketum melalui pagar sempadan,” katanya dalam kenyataan di sini.
– Bernama