Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan susut 2.4 peratus pada September 2019 kepada 105.3 berbanding 107.9 pada bulan sama tahun sebelumnya, berikutan penurunan indeks perlombongan sebanyak 14.4 peratus, diikuti indeks bekalan air (-2.8 peratus), indeks pertanian, perhutanan dan perikanan (-1.1 peratus) dan indeks pembuatan (-1.0 peratus).

Bagaimanapun, indeks bekalan elektrik dan gas meningkat 1.3 peratus, menurut Jabatan Perangkaan dalam kenyataan hari ini.

“Bagi perbandingan bulanan, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 0.7 peratus pada September 2019, disokong oleh indeks perlombongan (6.0 peratus) dan pembuatan (0.3 peratus).

“Sebaliknya, indeks bekalan elektrik dan gas, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan, masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 0.9 peratus dan 0.7 peratus,” katanya.

Bagi perbandingan suku tahunan, IHPR pengeluaran tempatan pada suku ketiga merosot 2.1 peratus kepada 104.8 berbanding 107.1 pada suku tahun sama pada tahun lepas, disokong oleh indeks perlombongan (-11.8 peratus), indeks pertanian, perhutanan dan perikanan (-2.9 peratus), indeks bekalan air (-2.8 peratus) dan indeks pembuatan (-1.0 peratus).

— BERNAMA