Dr. Mahathir Mohamad

PONTIAN – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata UMNO tidak meletakkan calon sebagai wakil Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, kerana takut kalah.

“UMNO takut. Sebab saya tahu kalau dia letak (calon UMNO mewakili BN), akan kalah. Kita yakin kita boleh menang walaupun dia letak sesiapa. Kalau letak UMNO lebih baik, tapi dia letak MCA (sebagai wakil BN),” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bin Chong, di sini sempena lawatan kerja sehari ke Johor hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu ditanya mengenai BN yang mengumumkan calon daripada MCA iaitu bekas penyandang Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, 55, bagi mewakili parti itu, merebut kerusi Parlimen Tanjung Piai, dan bukannya calon daripada UMNO seperti disebut-sebut sebelum ini.

Wee pernah menjadi Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal pada 2008 hingga 2018. Beliau sekali lagi bertanding bagi kerusi parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun lepas, namun tewas kepada calon PH Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

Isnin lalu, Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, diumumkan sebagai calon PH untuk PRK tersebut. Berasal dari Pontian, Karmaine merupakan anak seorang tokoh agama tempatan dan pernah menjadi Imam Masjid Al-Muttaqin di Johor Bahru serta Pengerusi Biro Agama Bersatu Johor.

Pada PRU14, Karmaine bertanding di kerusi parlimen Pontian, tetapi tewas kepada calon BN, Datuk Seri Ahmad Maslan dengan hanya majoriti 833 undi.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Mahathir sempat menyentuh mengenai Karmaine, yang diyakini akan memberi kemenangan dan mengekalkan kerusi tersebut buat PH dan kerajaan.

“Saya percaya, calon ini boleh menunaikan janji-janjinya. Beliau dikenali di kawasan ini dan akan mendapat sokongan daripada kerajaan (untuk menunaikan janji). Saya berasa gembira berada di sini. Kita akan berusaha untuk memastikan beliau akan berjaya. Itulah harapan kita,” katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh. – Bernama