Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew hadir pada Forum Wanita Dalam Kepimpinan di Menara FELDA, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 01 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Memiliki calon wanita dalam pilihan raya tidak membawa sebarang makna sekiranya isu-isu berkaitan wanita tidak diberi perhatian serius.

Menurut Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew, mengenengahkan isu-isu berkaitan wanita semasa pilihan raya bukan sahaja memberi kelebihan calon wanita untuk menarik lebih ramai pengundi dari golongan yang sama malah memudahkan mereka memperjuangkan isu tersebut ketika berkempen.

“Banyak gesaan supaya lebih ramai wakil wanita di Parlimen setiap kali pilihan raya umum tetapi gesaan tersebut tidak mempunyai pengaruh besar kepada calon melainkan terdapat isu-isu wanita yang boleh diketengahkan bagi menarik lebih banyak undi kepada mereka.

“Malangnya, meskipun golongan wanita mewakili separuh daripada jumlah pengundi, isu-isu berkaitan kaum hawa tidak pernah diberi perhatian setiap kali pilihan raya umum.

“Dengan itu, sudah tiba masanya, kumpulan-kumpulan wanita mengenal pasti isu-isu penting yang boleh diketengahkan bagi menghasilkan gelombang tsunami wanita pada pilihan raya akan datang,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Simposium dan Pameran Memperkasakan Wanita di sini hari ini.

Tambah Yee Kew, terdapat keperluan supaya wanita diperkasakan dalam bidang politik.

Ini jelasnya bagi membawa suara yang lebih besar dalam memperjuangkan isu-isu penting seperti perlindungan wanita dan kanak-kanak serta diskriminasi jantina.

Menyentuh mengenai kuota 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan, Yee Kew berkata, secara peribadi beliau tidak bersetuju dengan kuota sedemikian kerana ia secara tidak langsung menghapuskan meritokrasi.

Bagaimanapun, beliau memahami keperluan kuota itu diadakan kerana ianya telah pun dilaksanakan di banyak negara dan terbukti berjaya. – MalaysiaGazette