Datuk Mohd Rashid Hasnon
Datuk Mohd Rashid Hasnon

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon tidak berganjak daripada pendiriannya untuk bertanding jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) pada pemilihan 24 November ini.

Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat berhasrat merebut jawatan nombor satu KLFA itu demi membantu persatuan terbabit yang berdepan masalah dalaman selain prestasi skuad The City Boys yang semakin menurun.

“Saya sudah mendapatkan nasihat daripada beberapa individu dalam industri bola sepak dan juga sokongan kuat daripada kelab gabungan.

“Saya percaya dengan sokongan sahabat saya dari syarikat korporat dan kalangan yang memegang jawatan menteri termasuk Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dapat menaikkan kembali reputasi bola sepak Kuala Lumpur.

“Saya yakin beliau (Khalid) juga akan memberi sokongan dan terus membantu KLFA demi pasukan Kuala Lumpur yang mana suatu ketika dahulu sangat disegani dan setaraf bersama Selangor, Kedah dan Johor,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Mohd Rashid yakin pemilihan kali ini akan berjalan dengan lebih telus dan tiada unsur penipuan.

“Saya juga difahamkan satu badan audit bebas sudah dilantik untuk pemilihan kali ini. Saya juga memohon Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Pesuruhjaya Sukan dapat menjadi pemerhati pada pemilihan itu nanti,” katanya. – MalaysiaGazette