PTPTN berterima kasih kepada kerajaan Sarawak prihatin bantu anak negeri bayar baki pinjaman.

ISU bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus menarik perhatian masyarakat kita. Dilaporkan terdapat 375,925 peminjam PTPTN yang tidak pernah membayar pinjaman mereka langsung. Ini adalah satu angka yang cukup besar bila diterjemah kepada nilai pinjaman yang boleh diagihkan kepada peminjam baru jika mereka ini mula membayar balik.

Hal ini sangat signifikan kerana PTPTN secara purata menyediakan RM3.7 bilion hingga RM4.3 bilion setahun
untuk membiayai pinjaman kepada 180,000 peminjam baru dan 420,000 peminjam sedia ada. Maka kita khuatir bila masih ada ramai yang tidak mahu membayar balik pinjaman ianya akan menjejaskan peluang pinjaman generasi berikutnya.

Kita sedia maklum sebilangan besar peminjam yang belum mula membayar balik berpunca daripada masalah kesukaran untuk mendapat pekerjaan dengan gaji yang setimpal yang membolehkan mereka membayar balik. Namun kita perlu terima
hakikat betapa tiada sebarang jaminan bila kita akan memperoleh suatu pekerjaan boleh dianggap setimpal, maka adalah tidak wajar untuk kita menangguhkan bayaran balik kerana ia menjejaskan peluang orang lain.

Apa yang kita harapkan ialah mulalah bayar secara sedikit demi sedikit mengikut kemampuan dan jangan sampai langsung tidak mahu memulakan bayaran. Dalam pada itu kita juga berharap
agar pihak kerajaan segera merangka satu mekanisme baru pembayaran balik pinjaman PTPTN ini seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu.

Sementara itu eloklah para peminjam ini hargai segala inisiatif yang PTPTN laksanakan seterusnya berikhtiar agar segera memulakan bayaran balik. Secara peribadi saya memuji pelbagai inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan oleh PTPTN demi memudahkan peminjam membayar balik pinjaman mereka dan ianya wajar dihargai oleh semua peminjam. Antara inisiatif baik PTPTN ialah membantu peminjamnya mencari peluang pekerjaan.

Bagi merealisasikan inisiatif ini, PTPTN telah memulakan kolaborasi strategik melalui memorandum persefahaman (MoU)
dengan tiga pihak iaitu agensi pekerjaan Jobstreet.com Sdn. Bhd., Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM). Melalui usaha ini, peminjam yang masih menganggur boleh mendapat manfaat di samping peminjam yang sudah bekerja juga boleh mencuba nasib mendapatkan pekerjaan yang lebih baik agar dapat mengurangkan beban bayaran balik pinjaman.

Jelas sekali ini adalah satu langkah proaktif PTPTN yang wajar dipuji, hal ini kerana secara prinsipnya menyediakan peluang pekerjaan bukanlah tanggungjawab pihak PTPTN. Dalam konteks ini kita percaya ramai anak muda yang telah menamatkan
pengajian mahu membayar balik pinjaman namun kegagalan mendapat pekerjaan atau sedang bekerja dengan gaji yang terlalu kecil menjadi faktor penghalang utama mereka. Justeru kita berharap inisiatif baru ini akan memberi sinar harapan baru
kepada mereka.

Oleh itu, apa yang diharapkan melalui inisiatif ini ialah pertama, ikhtiar untuk peminjam memulakan bayaran balik dan kedua agensi yang menjalinkan kolaborasi ini perlu ada mekanisme yang jelas bagaimana boleh membantu peminjam PTPTN mendapat peluang pekerjaan yang ditawarkan. Untuk perkara pertama kita
menuntut agar para peminjam menzahirkan dan membuktikan rasa tanggungjawab mereka. Perlu ada kesedaran bahawa hutang adalah wajib dibayar.

Untuk itu gunakan platform yang disediakan oleh PTPTN ini agar berusaha mendapatkan pekerjaan yang bakal ditawarkan. Jangan lagi terus beralasan apatah lagi memilih pekerjaan, sebaliknya terima saja sebarang jawatan yang ditawarkan untuk meraih
pengalaman sekali gus membolehkan proses pembayaran balik dimulakan dengan segera. Kita perlu proaktif dalam mencari kerja dengan terus mengemukakan permohonan tanpa rasa jemu dan putus asa di samping bersedia dan melakukan yang terbaik ketika proses temuduga.

Bagi organisasi yang terlibat dalam inisiatif ini iaitu, Jobstreet.com Sdn. Bhd., Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) pula kita berharap akan adanya mekanisme yang khusus atau disediakan laluan khas kepada peminjam PTPTN untuk memohon kerja yang ditawarkan.

Kita sedia maklum bila ada kerja kosong ramai pemohon akan memohon dan mencuba nasib. Jadi bila mana adanya jalinan kerjasama strategik ini yang diwujudkan atas prinsip mahu membantu peminjam PTPTN maka besarlah harapan kita agar agensi ini akan memberi keutamaan kepada peminjam PTPTN terlebih dahulu untuk mencuba nasib.

Antara mekanisme yang boleh digunapakai ialah, sediakan platform agar semua peminjam PTPTN yang masih menganggur dan yang mahu mencari kerja yang lebih sesuai dengan gaji yang mampu bayar pinjaman berdaftar dengan setiap agensi tersebut.

Dengan adanya pangkalan data ini kita berharap agensi boleh terus menawarkan jawatan kosong kepada peminjam yang bersesuaian. Dalam lain perkataan jawatan kosong yang ada hanya ditawarkan kepada peminjam PTPTN sahaja atau paling tidak mewujdkan sistem kuota misalnya dari 10 jawatan kosong,
peruntukkan 6 tempat (60%) kepada peminjam PTPTN dan selebihnya dibuka kepada calon lain seperti biasa. Dan bagi menjayakan inisiatif seperti ini kita juga berharap akan ada lebih banyak lagi agensi dan syarikat swasta tampil untuk
bekerjasama dengan PTPTN sebagai penyedia peluang pekerjaan kepada peminjam PTPTN.

Kita berharap pada akhirnya peminjam PTPTN akan menggunakan kesempatan yang disediakan ini untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik dan seterusnya berikhtiar untuk memulakan proses pembayaran balik pinjaman. Ironinya lagi ramai mula membayar balik, lebih ramai bakal pelajar baru akan dapat dibantu dan dibiayai pengajian mereka. – MalaysiaGazette

Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, UPM