Oplus_131072

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa kesal dengan sikap segelintir pemimpin masyarakat yang enggan berunding dengan kerajaan secara baik dan memilih untuk menyerang beliau di laman media sosial.

Beliau berkata, lebih malang apabila individu tersebut menolak sumbangan kepimpinan kerajaan hari ini dalam membina negara yang lebih baik daripada pentadbiran terdahulu.

“Semua masyarakat harus dibantu, semua rakyat, semua suku kaum, semua wilayah mahu perhatian yang lebih daripada kerajaan.

“Caranya ialah bekerjasama, runding dengan baik, sebab itu saya hormat pandangan Tan Sri SA Vigneswaran kerana beliau tidak hanya merengek di luar, tidak mencaci.

“Dia memilih untuk datang dan berdepan dengan saya, bawa masalah masyarakat India, angkat martabat mereka, minta perhatian kerajaan, itu cara kita bekerjasama dalam satu negara kita.

“Kerana itu saya memilih untuk bersama beliau pada hari ini dan rakan-rakan kerana saya tahu ada usaha yang baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Cek Tabung Pendidikan, Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) milik MIC, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M.Saravanan.

Perdana Menteri berkata, sikap yang ditunjukkan pemimpin masyarakat itu termasuk memaki-hamun kepimpinan kerajaan yang hanya akan merugikan komuniti yang diwakilinya sendiri.

“Kita dengar kadang-kala bukan sahaja masyarakat India, bahkan Melayu, Cina, Iban, Kadazan, ada yang memilih untuk bekerjasama, ada yang memilih untuk hanya mencaci, dan melihatnya semuanya tak betul.

“Akhirnya masyarakat rugi, saudara marah-marah, guna media sosial, maki hamun, tidak berunding, tidak minta jasa baik untuk bekerjasama, tidak menerima apa sahaja sumbangan yang baik, orang-orang itu tidak menguntungkan masyarakat kita.

“Pemimpin-pemimpin sama ada daripada Keadilan, DAP atau MIC pada hari ini, memilih untuk berunding bagi membantu dan meningkat mutu hidup rakyat dari semua kaum dan ini cara yang kita harus pilih,” katanya.

Anwar juga mengajak masyarakat India supaya menyatakan pilihan mereka sama mahu bersama kerajaan atau pembangkang.

“Saya tabik hormat mereka yang pilih bina negara ini bersama untuk bekerja sebagai satu pasukan, tidak menggunakan forum untuk mengutuk dengan kasar dan menafikan sumbangan baik oleh kerajaan hari ini.

“Sebab itu beliau (Vigneswaran) sebut kelewatan kelulusan bantuan untuk AIMST RM25 juta, belum dia naik lif saya terus mengarahkan Kementerian Kewangan, sebab itu dalam tempoh dua jam, (kita) luluskan RM25 juta,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast