KUALA LUMPUR – Belian ekuiti oleh pelabur-pelabur asing di Bursa Malaysia menyusut kepada RM55.2 juta minggu lalu daripada RM302.4 juta pada minggu sebelumnya.

MIDF Amanah Investment Bank Berhad Research berkata, bursa langkah kanan selepas dibuka pada hari Selasa selepas pelabur asing membeli RM139.4 juta ekuiti, disokong oleh kenaikan semalaman di Wall Street dengan indeks S&P mencecah paras tertinggi kerana positif dengan tanda-tanda rundingan perdagangan.

Aktiviti belian pelabur asing perlahan pada hari Rabu apabila sejumlah RM18.2 juta ekuiti dilupuskan menjelang keputusan polisi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat.

Pelupusan ekuiti asing berlarutan hingga mencecah RM117.7 juta pada hari Khamis, diikuti dengan pengurangan kadar faedah kali ketiga oleh Rizab Persekutuan.

Pasaran Thailand dan Indonesia juga menyaksikan aliran keluar tetapi dengan momentum lebih kukuh.

Firma penyelidikan itu berkata, pelabur-pelabur asing kembali pada hari Jumaah dengan belian sebanyak RM51.7 juta dipacu oleh data pembuatan China yang lebih baik pada bulan Oktober 2019 – tertinggi dalam hampir tiga tahun dengan kenaikan tempahan pada kadar paling pantas sejak Januari 2013.

“Bulan Oktober 2019 menyaksikan aliran keluar bersih asing sebanyak RM484.6 juta, aliran keluar asing bulanan kedua terbesar setakat tahun ini,” katanya.

Setakat tahun ini pula, dana asing telah dibawa keluar dari bursa sebanyak RM8.38 bilion, 72% daripada jumlah aliran keluar tahun lalu yang sebanyak RM11.69%.

Dalam terma penyertaan, pelabur asing menyaksikan kenaikan tertinggi dalam nilai purata dagangan harian iaitu 28.9% untuk mencecah RM1 bilion. – MalaysiaGazette