Bangunan Tabung Haji. foto HAZROL ZAINAL, 11 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR- Terbitan sukuk bernilai RM19.9 bilion Urusharta Jamaah telah memberikan pulangan sebanyak empat peratus atau kira-kira RM800 juta setahun kepada Lembaga Tabung Haji (TH).

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, TH berkata, kedudukan kewangan entiti tersebut semakin kukuh dengan selesainya pelan penstrukturan syarikat sejak Mei tahun ini termasuk pemindahan aset ke Urusharta Jamaah.

Ini tambah dengan pengukuhan portolio-portfolio pelaburannya termasuk daripada anak-anak syarikatnya seperti Bank Islam Malaysia Bhd.; Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd.; TH Travels & Tours dan BIMB Investment Management Bhd.

Jelasnya, walaupun sesetengah aset dilihat mempunyai nilai pada masa hadapan, namun TH perlu melabur sejumlah dana yang besar untuk membangunkannya seperti projek kediaman mewah atau kompleks komersial.

Keputusan untuk melibatkan diri dalam projek-projek sedemikian dilihat tidak sesuai dengan pasaran masa kini serta berisiko kepada dana pendeposit, katanya.

“TH mempunyai hak penolakan pertama untuk mendapatkan semula aset dari Urusharta Jemaah sekiranya aset-aset tersebut memenuhi strategi perniagaan TH dan nilai tambah yang akan memberi manfaat kepada pendepositnya,” ujarnya.

Menurut TH, ia akan terus mencari peluang-peluang pelaburan baharu namun mengambil kira aspek profil risiko pendeposit.

Dalam pada itu, keyakinan rakyat Malaysia terhadap TH juga masih kekal tinggi.

Setakat akhir Oktober lalu, bilangan pendeposit yang belum menunaikan haji meningkat kepada 8.7 juta orang dengan nilai RM42.6 bilion manakala bilangan pendeposit yang telah mendaftarkan haji juga meningkat sebanyak lebih 50,000 pendaftaran dalam tempoh tiga bulan lalu.

Jumlah keseluruhan pendeposit TH adalah 9.4 juta orang setakat akhir Oktober 2019.- MalaysiaGazette