Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) terkilan dengan pengumuman penangguhan pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ketereh berikutan kajian semula keperluan dan kesesuaian pembinaan MSRM baru di Kelantan.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, diharapkan penangguhan ini tidak mempunyai unsur politik kerana Parlimen Ketereh diwakili oleh wakil rakyat pembangkang, juga Setiausaha Agung UMNO.

Menurut beliau, alasan sudah wujud beberapa buah MRSM di Kelantan sebenarnya tidak kukuh kerana MRSM Ketereh bakal menjadi MRSM Ulul Albab pertama di Kelantan, yang dikenali serambi Mekah.

Ramai tahfiz muda dilahirkan di Kelantan dan MRSM Ulul Albab bakal menjadi anjakan paradigma kepada sekolah-sekolah pondok lain di Kelantan.

“MRSM Ulul Albab menawarkan kurikulum Sistem Pendidikan MRSM, di samping nilai tambah aktiviti-aktiviti termasuklah Program Ulul Albab untuk melahirkan pelajar yang dapat menghafaz Al-Quran 30 juzuk dalam tempoh 3 tahun pengajian di MRSM dan membina budaya saintifik Al-Quran dengan pendekatan ICT sebagai pengupaya.

“Malaysia bakal menjadi gedung melahirkan pelajar yang berlatarkan Sains dan Tahfiz Al-Quran ke arah profesional teknikal dan alim Al-Quran. Inilah teknokrat muda yang boleh dilahirkan di negara kita,” katanya.

Sehubungan itu, menteri bertanggungjawab, Datuk Seri Rina perlu memberikan pilihan lain kepada rakyat Kelantan yang mahukan program ini sekiranya negara benar-benar tidak mempunyai wang untuk membina MRSM ini.

“Mungkin pihak MARA boleh menerapkan program Ulul Albab kepada salah satu MRSM di Kelantan. Jangan menganaktirikan rakyat Kelantan,” ujarnya.

Sehingga kini, hanya 5 MRSM menawarkan program Ulul Albab iaitu Gemencheh (Negeri Sembilan), Kepala Batas (Pulau Pinang), Kota Putra (Terengganu), Sungai Besar (Selangor) dan Semporna (Sabah). – MalaysiaGazette