Mohamed Haniff Khatri

KUALA LUMPUR – Peguam Negara didakwa seolah-olah tidak menghargai pegawai jabatannya sendiri apabila melantik peguam swasta, Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaraya kes 1MDB.

Seorang peguam, Haniff Khatri berkata, pelantikan itu menimbulkan persoalan mengenai kredibiliti kira-kira 1,200 pegawai di Jabatan Peguam Negara termasuk para peguam kanan yang ada.

“Sepatutnya, jika pun Tan Sri Tommy Thomas sendiri di atas ketidakbolehan peribadi untuk mengemudi pendakwaan-pendakwaan tertentu disebabkan ketiadaan pengalaman peribadi dalam kes-kes jenayah selama beliau menjadi peguam swasta, pengalaman pukul bersih sebanyak 1,200 pegawai di Pejabat Peguam Negara yang telah berfungsi lebih 60 tahun sejak merdeka untuk memelihara kedaulatan undang-undang negara, dalam menentukan mereka yang bersalah dibuktikan bersalah di mahkamah dan yang tidak bersalah dibebaskan daripada pertuduhan jenayah (semestinya juga dengan bantuan perkhidmatan peguambela swasta yang mewakili tertuduh) serta memelihara aset-aset negara untuk kepentingan rakyat di dalam kes-kes sivil.

“Saya sesungguhnya percaya ianya adalah tanggungjawab Peguam Negara untuk keluarkan satu kenyataan rasmi menyokong dan meletakkan kepercayaan beliau di atas kebolehan mereka yang tidak boleh dinafikan ini dengan serta merta agar rakyat tidak dikelirukan lagi,'” katanya dalam status Facebooknya hari ini.

Menurut Haniff, kenyataan rasmi dalam meletakkan kepercayaan Tommy di dalam perkhidmatan kesemua pegawai di Pejabat Peguam Negara bukan sahaja perlu untuk menyahkan persepsi salah rakyat di atas tindakannya selama ini seperti yang dibangkitkan di Parlimen.

Lagi pun, ia, katanya, satu perkara wajib dilakukan untuk menaikkan moral para pegawai terbabit di Pejabat Peguam Negara yang selama ini bekerja bermati-matian tanpa mengira waktu ataupun cuti dalam melaksanakan tanggungjawab mereka kepada negara.- MalaysiaGazette