Foto hiasan

Saya menunggu sehingga isu komik propaganda komunis yang diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri reda seketika untuk mula menulis rencana ini. Sebab saya tidak mahu dilihat cuba memanaskan suasana ketika itu. Tujuan saya lebih untuk berkongsi ilmu dengan pembaca supaya kita dapat memahami dan menyedari bagaimana ejen-ejen komunis melakukan propaganda komunis mereka di negara ini di peringkat paling awal dahulu. Semoga perkongsian ini bermanfaat pada semua.

Anuar Ahmad

DI dalam sejarah pendidikan negara, terbukti memang wujud penyebaran propaganda komunis melalui sekolah vernakular khususnya di sekolah Cina. Kedua duanya, propaganda komunis dan sekolah Cina sangat berkait rapat.

Namun, kita selalunya hanya didengarkan tentang kisah propaganda gerakan komunis ini apabila PKM ditubuhkan pada April 1930, dan paling diketahui umum khususnya peristiwa darurat 1948-1960.

Banyak buku berkaitan kajian gerakan komunis bermula sekitar 1930an. Misalnya buku oleh Christopher Hale bertajuk ” Massacre in Malaya”, buku oleh Ho Hui Ling bertajuk ” Darurat 1948-1960 dan buku oleh Cheah Boon Kheng bertajuk “Red Star Over Malaya”. Semuanya berkisar tentang sejarah komunis yang bermula sekitar 1930an.

Jarang sekali kita didengarkan dengan kisah gerakan awal propaganda komunisme di negara ini sebelum PKM ditubuhkan. Khususnya di era perang dunia pertama.

Sedangkan sebagai rakyat yang cintakan keamanan, kita sepatutnya diberikan pengetahuan yang lebih baik bagaimana gerakan propaganda komunis ini telah menyelinap masuk ke dalam negara kita sebelum tertubuhnya PKM.

Dengan pengetahuan yang lebih baik tentang propaganda komunis, kita akan lebih berhati-hati jika nampak ada sebarang usaha untuk memulakan propaganda komunis lagi pada masa hadapan. Sejarah adalah guru yang paling baik.

Biar saya ceritakan satu kisah yang mungkin ramai antara kita yang belum pernah dengar sebelum ini tentang gerakan awal komunis di Tanah Melayu.

Kisah ini ditulis dengan mendalam hasil dari kajian akademik oleh seorang pengkaji gerakan komunis dari Flinders University of South Australia bernama Dr C.F YONG di dalam bukunya “The Origin of Malayan Communism (1997). Anda boleh dapatkan buku ini di kedai buku MPH atau Gerakbudaya.

Kisahnya bermula sepuluh tahun sebelum Parti Komunis Malaya (PKM) ditubuhkan. Pada awal 1920, empat orang agen komunis dari CCP China telah datang ke Tanah Melayu. Mereka sebelum itu telah tinggal di Singapura sejak 1918 untuk membina jaringan dengan berbagai ahli masyarakat di Singapura dan Kuala Lumpur.

Ditulis di dalam buku ini “During the First World War, a small band of Chinese anarcho communists arrived in Malaya to lay the ground work for a radical political movement” (ms 17).

Siapakah empat orang ejen komunis yang telah datang ke Tanah Melayu pada 1920?

Mereka ialah Cheung Hong Seng dari Foochow, Hu Tu Tsu dan Fan Chang Pu dari Canton serta Goh Tun Ban dari daerah Yung Chun, China. Menunggu mereka di Kuala Lumpur sebagai orang hubungan mereka ialah Wang Yu Ting yang berasal dari Chuanchou, China dan beliau sebenarnya telah datang ke Malaya lebih awal.

Inilah kumpulan pertama ejen komunis yang telah dikenal pasti melakukan propaganda komunisme di Tanah Melayu. Apa yang mereka lakukan untuk menjayakan propaganda komunis ini?

Menurut Dr C.F Yong, tiga perkara telah dilakukan.

Pertama, empat agen komunis serta pengikut mereka telah mengadakan banyak perjumpaan sosial dengan pemimpin kesatuan sekerja dan kemudian berjaya menyelinap masuk ke dalam kesatuan-kesatuan sekerja khususnya kesatuan sekerja ladang dan buruh di Negeri Sembilan, Selangor dan Perak.

Akhirnya mereka berjaya menghasut kesatuan sekerja supaya menyokong gerakan komunis. Antara kesatuan sekerja yang paling aktif menyokong gerakan komunis di peringkat awal ini ialah Aik Min Workers Association Port Dickson, Aik Khuan Workers Association Kuala Pilah, Rubber Workers Association Negeri Sembilan, Shop Workers Association Negeri Sembilan dan Aik Chi Workers Association Sepang (ms 70).

Kedua, empat agen komunis ini telah menubuhkan syarikat percetakan untuk menerbitkan risalah, majalah dan akhbar. Akhbar harian propaganda komunis yang pertama telah diterbitkan di Tanah Melayu diberi nama “Yik Khuan Poh” (yang membawa maksud ‘a paper for the benefit of the public’). Salah seorang dari mereka iaitu Goh Tun Ban telah dilantik sebagai editor dan pengurus penerbitan surat khabar Yik Khuan Poh ini. Anda akan perasan, salah satu taktik gerakan komunis ialah pada setiap masa mereka selalu menggunakan istilah dan slogan seperti “untuk rakyat”, “demi rakyat” “kesaksamaan”, “rakyat ditindas”, “perjuangan rakyat miskin” untuk mengaburi mata masyarakat.

Sedangkan kita juga tahu betapa kejamnya penganas komunis bila mereka telah membunuh dan merogol ramai rakyat Tanah Melayu sejurus selepas kekalahan Jepun dan sebelum datangnya semula British ke Tanah Melayu.

Bagi tujuan menjayakan propaganda ideologi komunis ini, penerbitan akhbar Yik Khuan Poh juga telah dibiayai oleh ahli perniagaan dan persatuan Cina di Kuala Lumpur yang menyokong gerakan komunisme. Peniaga kaya dan persatuan Cina adalah pembiaya utama gerakan komunis di Tanah Melayu di peringkat awal.

Dr C.F Yong di dalam bukunya telah merumuskan kejayaan besar propaganda komunis melalui pengedaran surat khabar propaganda Yik Khuan Poh dengan menulis “Yik Khuan Poh contributed to making Kuala Lumpur into the most important centre of early communist operation”(ms 43)

Ketiga, empat agen komunis di peringkat awal telah berjaya mempengaruhi guru besar dan guru guru sekolah Cina untuk menyokong gerakan komunisme. Dengan sokongan kewangan para peniaga, sekolah Cina dibaikidan ada yang dibina baru. Jumlahnya sekolah Cina di Kuala Lumpur telah meningkat kepada 23 buah pada tahun 1925.

Seterusnya mengisi guru guru yang menyokong gerakan komunis. Sebagai contoh, seorang pemimpin komunis yang cukup berpengaruh di Shanghai bernama Tung Fang Cheng telah dibawa ke Tanah Melayu dan dilantik menjadi pengetua sekolah Chung Hwa di Setapak, Kuala Lumpur pada Disember 1922. Setelah menjadi pengetua sekolah tersebut, Beliau kemudian telah melantik guru-guru berideologi komunis bertugas di sekolah berkenaan. Melalui guru-guru ini, risalah propaganda komunisme dari Yik Khuan Poh diedarkan ke sekolah sekolah untuk dibaca oleh para pelajar.

Menurut Dr C.F Yong ,” in his position, Tung Fang Cheng was instrumental in recruiting other communists as teachers for his school, making it one of thebfirst communist cell in British Malaya. His efforts and those of other communists in Kuala Lumpur to recruit and shelter fellow travellers as colleagues soon made Kuala Lumpur a most important centre of communist operation” (ms 43).

Tung Fang Cheng juga telah diklasifikasikan oleh risikan polis British ketika itu sebagai pengerak propaganda komunis yang paling berpengaruh di Tanah Melayu (ms 48).

Kita tentu tertanya-tanya mengapa pengerak komunis paling utama seperti beliau telah diletakkan di sekolah sebagai pengetua? Mengapa di sekolah?

Di samping gerakan komunis telah menyelinap di 23 buah sekolah Cina sekitar Kuala Lumpur, gerakan komunis juga banyak menubuhkan sekolah malam untuk orang dewasa. Tujuan mereka ialah untuk mendoktrinkan anak muda dan orang dewasa tentang gerakan komunis melalui pendidikan. Mereka berjaya dengan cara-cara ini untuk merekrut lebih ramai anak muda untuk menjadi penyokong komunis.

Kita tentu sekali lagi bertanya, mengapa agen komunis telah memilih untuk melakukan propaganda komunis kepada pelajar di sekolah Cina? Mengapa pada kanak-kanak dan orang muda yang masih belajar?

Alasan yang mudah, ini adalah perancangan jangka panjang untuk menjayakan gerakan komunis di Tanah Melayu. Dengan menyelinap masuk ke sekolah Cina, anasir komunis kemudian telah melakukan pengkaderan pelajar di dalam gerakan komunis barulah gerakan ini akan berjaya.

Contohnya pemimpin PKM, Chin Peng bersekolah di sekolah Cina di Sitiawan Perak. Pada 1937 beliau telah menyertai “The Chinese Anti Enemy Backing Up Society (AEBUS). Di dalam buku biografinya yang bertajuk”Chin Peng: My Side of History” telah dikisahkan bagaimana di alam persekolahanlah beliau mula mengenal dan cenderung untuk bersama dengan gerakan komunis. Kita kena tahu bahawa pemimpin PKM sejak sebelum merdeka lagi adalah datang dari bekas pelajar sekolah Cina yang telah berjaya di propagandakan oleh agen komunis.

Selama 10 tahun, bermula dari tahun 1920, agen komunis telah melakukan gerakan propaganda komunis melalui kesatuan sekerja, pengedaran suratkhabar serta menyelinap masuk ke sekolah Cina, kemudian barulah PKM ditubuhkan pada April 1930.

Begitulah berkesannya institusi sekolah Cina ketika itu dijadikan tapak untuk penyebaran propaganda komunis ketika itu. Bukan untuk tujuan gerakan komunis jangka pendek tetapi lebih untuk perancangan jangka panjang.

Jadi berhati-hatilah….

— ANNUAR AHMAD merupakan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia.