Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni semasa perbahasan pada sidang DUN Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 05 NOVEMBER 2019

SHAH ALAM – Kerajaan negeri diminta supaya memberi tumpuan memenuhi permintaan rakyat Selangor untuk mendapatkan kediaman menerusi projek Rumah Selangorku.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, beliau dimaklumkan terdapat kira-kira 109,000 permohonan dibuat oleh rakyat untuk memohon kediaman berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri tidak dapat memenuhi permintaan yang begitu tinggi berikutan beberapa kekangan yang dihadapi.

Namun, beliau menyarankan kerajaan negeri menggalakkan syarikat pemaju perumahan membina lebih banyak rumah terutama di kawasan strategik yang menarik minat pembeli.

“Kerajaan negeri setakat ini belum berjaya menyediakan rumah kepada rakyat dengan permintaan yang tinggi, tapi penyediaan rumah dalam jumlah yang kecil.

“Setiap rakyat Selangor baik di bandar mahupun luar bandar sepatutnya mempunyai kediaman sendiri, tapi apa yang berlaku ketika ini agak sesak,” katanya dalam Perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2020, Sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Mohd Zawawi turut meminta kerajaan negeri mencontohi kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini membina rumah PR1MA di kawasan yang diminati oleh pembeli kerajaan mempunyai kemudahan akses dengan tempat kerja.

Bagaimanapun, katanya, Rumah Selangorku kebanyakannya terletak jauh dari tempat rakyat negeri itu bekerja.

“Sebab itu, bila buka sahaja permohonan rumah PR1MA, ia habis dijual kerana kediaman itu di bina di kawasan strategik,” katanya. – MalaysiaGazette