Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh bercakap pada sidang media sempena Pilihan Raya Kecil P.165 Tanjung Piai di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 06 NOVEMBER 2019.

PONTIAN – Sehingga kini polis telah menerima lapan laporan polis sepanjang hari berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai sejak penamaan calon 2 November lalu.

Daripada lapan laporan polis itu, sebanyak tiga kertas siasatan telah dibuka polis untuk disiasat lanjut.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, tiga kes siasatan yang dibuka adalah aduan melibatkan bilboard calon Gerakan ditumbangkan pada 3 November lalu dan insiden bendera Pakatan Harapan (PH) dicabut di kawasan Kampung Kebun Baru Permas pada 5 November lalu.

Katanya, kedua-dua kertas siasatan itu dibuka dan sedang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Manakala kertas siasatan ketiga dibuka untuk kes laporan polis berkaitan satu rakaman video yang diviralkan melibatkan ucapan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dalam satu perjumpaan tertutup di Sekolah Jenis Kebangsaan Pei Chio Kukup Laut yang dikatakan mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman dan menghasut.

“Polis masih siasat kesemua kes itu dan belum ada sebarang tangkapan dibuat setakat ini dan siasatan akan diteruskan untuk melengkapkan bukti,” katanya dalam sidang media kempen PRK Tanjung Piai di sini hari ini.

Ditanya mengenai perkembangan siasatan kes menghasut oleh Salahudin yang laporan polis dibuat oleh Pergerakan Pemuda UMNO Tanjung Piai – phaknya tidak menolak kemungkinan akan memanggil menteri berkenaan untuk disoal siasat.

“Masih dalam siasatan lagi. Tengok pada keadaan nanti (rakam keterangan Salahuddin)..kalau kita perlu kita akan lakukan.

“Kita tengok petang ini nanti..setakat ini masih dalam siasatan lagi.

“Kita cuba mempercepatkan siasatan dan ada pasukan ditubuhkan oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah so mana-mana terlibat bawah laporan kita mana-mana terlibat dibawah akta kesalahan Pilihanraya 1954 akan dikendalikan siasatan dan pasukan kita akan dipercepatkan dalam siasatan ini,” ujarnya lagi.

Tambahnya, kes Salahuddin disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 2002 dan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan denda RM50,00 atau penjara selama tempoh setahun atau kedua-duanya sekali.

Ditanya mengenai perkembangan laporan polis ke atas calon Barisan Nasional, Datuk Seri Wee Jeck Seng melibatkan tender projek pas kemasukan kenderaan (VEP), katanya, kes itu telah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencerahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ini kita serahkan kepada SPRM untuk mereka tentukan di bawah seksyen mana perlu disiasat..(kes Jeck Seng) itu kita sudah rujuk kepada SPRM untuk tindakan lanjut,” tegasnya.- MalaysiaGazette