Calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini bersama Penasihat DAP, Lim Kit Siang (kanan) dan ADUN Jementah, Tan Chen Choon (kiri) hadir pada Program Borak Kopitiam sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Restoran Jong Guan, Penerok, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 06 NOVEMBER 2019

KUKUP – Majoriti wakil rakyat, Ahli Parlimen dan anggota Kabinet Pakatan Harapan (PH) lulus dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar, Tan Chen Choon berkata. walaupun kerajaan PH baru berusia 18 bulan ia masih mampu memperolehi 5 markah daripada keseluruhan 10 markah.

“Walaupun tidak dapat skor 100 peratus markah cemerlang dalam kerja pentadbiran kerajaan, kami wakil rakyat berstatus Ahli Parlimen, ADUN mahupun menteri atau timbalan menteri semua lulus juga dari penilaian rakyat.

“Maka untuk kami terus memperbaiki sistem perkhidmatan dan penyampaian kami untuk tiga tahun akan datang sila beri undi sekali lagi pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai pada 16 November ini.

“Ia akan membolehkan kami selaku wakil rakyat boleh terus memperbaiki sistem penyampaian kami supaya lebih cemerlang sekaligus merangka lebih banyak dasar pembangunan yang mensejahterakan rakyat negara ini,” katanya ketika berkempen di Penerok yang dihadiri turut Penasihat DAP, Lim Kit Siang malam ini.

Katanya, walaupun pelbagai tohmahan dilemparkan pembangkang semasa PRK ini, pengundi Tanjung Piai perlu bijak membuat penilaian berdasarkan prestasi yang dicapai sepanjang lebih setahun pembentukan kerajaan Pusat.

Malah katanya, kerajaan PH masih belum menjadi pemerintah yang sempurna dan memerlukan lebih masa untuk memperbaiki segala kerosakan yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

Menurut beliau, PH merupakan bayi berusia 18 bulan yang sedang dalam proses belajar berjalan dan memerlukan masa untuk memperbaiki segala sistem pentadbiran kerajaan yang dirosakkan pemerintah terdahulu.

“Malah PRK kali ini satu petanda daripada penduduk kawasan Tanjung Piai kepada PH untuk menunjukkan mereka mewakili rakyat seluruh negara memberi mesej kepada PH bahawa bayi 18 bulan ini memerlukan masa.

“Saya sendiri yang baru memegang jawatan Exco negeri menerusi rombakan pentadbiran negeri menjalankan tugas setakat ini.

“Tetapi banyak lagi selok belok yang saya perlu fahami dan belajar untuk mencari kaedah terbaik merancang dan mengatur dasar untuk pembangunan rakyat.

“Maka tidak salah juga beri peluang kepada Karmaine Sardini untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan arwah Datuk Dr. Md Farid Md Farik yang meninggal dunia secara mengejut supaya dapat meneruskan hasrat allahyarham yang menginginkan kesejahteraan rakyat menerusi calon yang mewakili kerajaan PH juga,” katanya. – MalaysiaGazette