Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Peguam Negara didakwa sehingga hari ini masih gagal memulakan pendakwaan terhadap pembunuh Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim meskipun setelah sebulan lebih Mahkamah Koroner Shah Alam mengesahkan Allahyarham mati dibunuh.

Ahli Jawatankuasa Pusat Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mempersoalkan adakah siasatan polis masih belum lengkap atau pihak Peguam Negara sendiri sengaja melengahkan pendakwaan tersebut seolah-olah menggambarkan beliau sendiri mempunyai agenda berkepentingan dalam kes ini.

Ahli Parlimen Bachok itu menambah, Tan Sri Tommy Thomas sewajarnya meletakkan jawatan kerana Peguam Negara itu sudah tidak lagi ada lagi kredibiliti untuk jawatan yang penting dalam negara ini.

“Beliau juga telah menerima kritikan langsung daripada pihak Hakim Koroner Shah Alam yang mengendalikan inkues terhadap kematian Allahyarham Adib.

“Ini telah disebutkan dalam penghakiman Mahkamah Koroner Shah Alam yang menjelaskan tindakan Peguam Negara campur tangan dalam inkues sebagai “menyalahi prinsip perundangan”, bersifat “subjudis” selain menganggap inkues hanya sebagai “permainan wayang” dan “rubber stamp”.

“Sewajarnya kesemua justfikasi ini menguatkan lagi desakan supaya Tan Sri Tommy Thomas meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara. Jelas beliau tidak lagi ada kredibiliti untuk jawatan yang penting dalam negara ini,” ujarnya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast