Presiden Kebangsaan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai .

PONTIAN – Gerakan mengucapkan tahniah kepada Syarikat Nadir Bumi Lynas di Kuantan Pahang yang berjaya meneruskan operasinya tanpa sebarang halangan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau berkata terkilan  dengan pendirian tidak konsisten PH yang suatu ketika pernah menentang operasi Lynas tetapi kini membenarkan operasinya.

“Tahniah kepada Lynas kerana boleh meneruskan operasi di negara ini. Tak faham kerana dulu PH sebelum PRU-14 bantah syarikat nadir bumi itu beracun dan tidak boleh dibenarkan operasi.

“Tapi apabila sudah jadi kerajaan dapat kuasa nadir bumi Linus sudah tidak beracun lagi dan ‘selamat’ untuk rakyat,” bidas dalam sidang media di Bilik Operasi Gerakan di Pontian hari ini.

Tambah Dominic, syarikat nadir bumi Lynas yang diproses dijadikan bahan baja penanaman adalah tidak sesuai dan boleh menjadi racun lebih serius jika digunakan untuk pertanian.

“Tak sesuai untuk jadikan baja penanaman kerana walaupun penyelidikan sedikit menyokong peningkatan produktiviti tanaman, tetapi pencemaran serius jika diserap masuk tanah subur itu perlu dititikberat dan dibimbangkan.

“Baja hasil nadir bumi adalah racun kronik yang sukar untuk dihuraikan dan tidak sesuai untuk pertanian negara berbanding baja organik yang sihat dan lagi selamat tanpa kandungan kimia.

“Baja kimia dari Lynas jika digunakan sebagai baja untuk penanaman berkemungkinan besar tanaman buah-buahan atau sayur sebagainya berisiko jika dimakan pengguna,” ujarnya.

Menurutnya, negara negara maju yang lain sudah mula menggunakan baja organik bagi memastikan penanaman subur sihat dan selamat kepada pengguna dan Malaysia sepatutnya mencontohi negara lain bukannya meneruskan Lynas.

Katanya, Gerakan bimbang sekiranya baja kimia yang dikeluarkan Lynas dibekalkan untuk penanaman pekebun kelapa sawit ia akan merencatkan hasilnya di kemudian hari dan seharusnya beralih kepada baja organik secepat mungkin.

“Gerakan bantah Lynas diteruskan operasi dan nadir bumi dijadikan bahan baja,” tegasnya.-MalaysiaGazette