Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak

KUALA LUMPUR – Amat memalukan bagi seorang pemimpin nombor satu negeri  yang mewakili kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengeluarkan kata-kata yang beliau keseorangan berlawan dengan DAP.

“Jika Peja (Faizal) menganggap DAP sebagai musuh di dalam kerajaan negeri Perak, beliau tidak layak menjadi seorang menteri di bawah kerajaan Pakatan Harapan!

“Mandat yang dikongsi bersama tidak harus dipertikaikan malah sudah menjadi tugas beliau untuk meyakinkan rakyat akan ketelusan pakatan ini,” kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam video tular hari ini yang mengakui di hadapan beberapa pengundi Tanjung Piai termasuk calon PH, Karmaine Sardini bahawa beliau terpaksa berlawan dengan DAP tanpa sokongan parti.

Dalam video itu juga, Ahmad Faizal berkata, beliau bernasib baik kerana mendapat sokongan dari rakan-rakan UMNO meskipun tidak sehaluan.

Mengulas lanjut, Farhash turut mempersoalkan kewibawaan Faizal yang masih mengamalkan politik perkauman biarpun PH telah memenangi Putrajaya.

“Mengapa masih mahu mengamalkan politik bersifat perkauman yang jijik di dalam Malaysia Baharu?

“Sikap munafik Peja dalam memperlekehkan menteri Kabinet kerajaan PH dan lebih mengutamakan hubungan bersama ahli-ahli UMNO menjelaskan mengapa wujud pemberian kontrak Marris tanpa tender dan isu pembalakan haram melibatkan pencabulan hak orang asli yang masih berlarutan,” katanya lagi.

Farhash turut menyifatkan langkah Menteri Besar Perak itu sebagai canggung dan mendakwa Faizal tidak sepatutnya membuat kenyataan yang akan mengeruhkan hubungan PH di peringkat kerajaan negeri Perak.

“Setelah melihat video tular di mana Peja dengan berseloroh menghina jemaah menteri kerajaan PH dan menabur fitnah kepada DAP demi memancing undi membuktikan beliau tidak layak menjadi menteri besar,” katanya.

Dalam satu video yang tular hari ini, Faizal mendakwa dirinya keseorangan terkontang kanting berlawan dengan puak puak DAP untuk mempertahankan tanah orang Melayu dan memperjuangkan agama Islam sebelum diviralkan dalam media sosial hari ini.

Dalam video 6.18 minit di Youtube itu, Faizal kelihatan mengadakan satu perjumpaan dengan pengundi Tanjung Piai menjelang PRK di kawasan parlimen itu.

Faizal hari ini menafikan beliau mengeluh berkaitan hubungan dengan DAP seperti dirakam dalam sebuah video kontroversi.

Malah katanya, video yang disebarkan dalam media sosial itu diambil di luar konteks selain tidak merekodkan ucapan beliau secara sepenuhnya. -MalaysiaGazette