Menteri Dalam Negeri merangkap Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap semasa sesi sidang media pada Program Minum Petang Bersama PDRM bagi membantu calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Balai Polis Pekan Nenas, Johor. foto AFFAN FAUZI, 08 NOVEMBER 2019

PEKAN NANAS – Beribu-ribu pengundi Tanjung Piai yang bekerja di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Singapura diminta pulang untuk menunaikan tanggangjawab mereka.

Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyddin berkata, kegagalan mereka memilih wakil rakyat merupakan satu kerugian untuk masa depan.

“Ramai juga pengundi di luar kalau tak balik rugi kita kerana mereka ribuan orang yang bekerja di luar termasuk di Singapura.

“Ini hak mengundi. Mereka rugi kalau tak pulang kerana jika wakil dipilih tak tepat nanti masalah ibu bapa mereka tidak akan selesai, sebab itu pentingnya mereka perlu balik mengundi ikut demokrasi,” katanya kepada pemberita selepas minum sepetang bersama warga Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) di Balai Polis Pekan Nanas hari ini.

Tambah beliau, Jabatan Imigresen akan berusaha mempermudahkan akses mereka pada hari mengundi supaya pengundi Tanjung Piai di Singapura dapat melaksanakan tanggungjawab.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau dimaklumkan seramai 280 anggota polis akan mengundi awal pada 12 November ini.

“Mereka mesti faham secara bijaksana membuat keputusan apa sekalipun mengikut hak demokrasi yang dimiliki.

“Kita amalkan sistem demokrasi dan setiap individu ada hak masing-masing mana mana pihak, jadi saya datang sini jumpa bersantai dengan mereka (anggota polis) dan terangkan dasar-dasar kerajaan supaya menghilangkan sikit keraguan,” katanya. -MalaysiaGazette