Foto Instagram Azza

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pengacara, Azza Elite terkilan apabila teguran terhadap beberapa model di tanah perkuburan menerima kecaman netizen yang mengungkit cara pemakaiannya dahulu.

Pemilik nama Nor Azzarima binti Zawari, 41, berkata teguran itu dibuat dengan niat ikhlas untuk memberi nasihat agar individu itu berubah ke arah lebih baik.

“Bahagian spin (putar) nombor satu kalau tegur saja kena kaitkan dengan benda dulu ke? Kita bagi nasihat berharap orang yang dinasihat itu berubah.

“Sebab kita pun ada yang bagi nasihat agar berubah ke arah yang lebih baik. Tujuh tahun dah berubah, tak mahu pandang belakang,” tulisnya di Instagram.

Azza memuat naik sebuah hantaran memaparkan paparan skrin menunjukkan seorang individu cuba mengungkit perihal lampaunya di ruangan komen laman sosial.

Sementara itu, Azza mengakui dirinya juga hanya manusia biasa yang tidak lari dari melakukan kesilapan namun bersyukur diberi kesedaran untuk memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya.

Bekas kumpulan Elite juga berkata dia bertanggungjawab untuk mengingatkan umat Islam lain agar tidak melalui perkara sama yang akhirnya membawa kepada pengakhiran tidak baik.

“Maka Alhamdulillah ada perubahan dalam diri kita. Perlahan-lahan dan kadang-kadang masih lagi buat salah tapi ada saja yang beri nasihat maka saya ambillah nasihat untuk kebaikan diri sendiri.

“Itu nama kesilapan. Kita dakwah supaya orang lain tak buat macam yang kita buat,” tulisnya.

Sebelum ini, Azza meluahkan rasa kecewa selepas sebuah foto tular menyaksikan beberapa model sedang menjalani sesi penggambaran mengenakan baju pengantin di tanah perkuburan bukan Islam. – MalaysiaGazette