KUALA LUMPUR – Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh dan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak tidak sewajarnya melatah apabila tular video klip kontroversi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sejak semalam.

Mereka sepatutnya memberi sokongan penuh kepada Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar dan Pengerusi PH Perak bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa tiada sebarang sengketa dan perbalahan dalaman di antara parti komponen di dalam parti pemeritnah itu.

“Kenapa pemimpin DAP dan PKR Perak yang melatah? Dah termakan propoganda pembangkang atau ada agenda lain?

“Perlu diingatkan bahawa kita sedang menghadapi PRK yang genting. PH harus ditunjukkan sebagai parti yang kuat dari segi sokongan dan kerjasama.

“PH harus menunjukkan bahawa pemimpin memerintah dengan sokongan tinggi,” kata Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Seputeh, Mohd Badrul Ezan kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Semalam, video klip berdurasi 2 minit 46 saat Ahmad Faizal ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai tular di media sosial.

Video klip itu antara lain memaparkan Ahmad Faizal membuat pengakuan berani bahawa beliau keseorangan dan terkontang-kanting melawan puak-puak DAP di Perak.

Mohd Badrul juga menyelar kenyataan Kah Woh semalam yang menyifatkan Ahmad Faizal menunjukkan teladan tidak baik sedangkan pemimpin DAP itu sendiri tidak patuh dan menyokong sepenuhnya menteri besar itu.

“Adakah ini yang Wong ingin tunjukkan kepada seluruh rakyat Malaysia? Adakah Wong ingin mensabotaj Pakatan dalam PRK Tanjung Piai ini?

“Wong sendiri pernah melalui kempen pilihan raya. Jadi, seharusnya beliau mengetahui penat dan kelam-kabutnya suasana berkempen itu.

“Macam-macam boleh jadi dan macam-macam perkataan boleh keluar,” Tegasnya.

Kah Woh turut digesa mencontohi sikap pemimpin veteran DAP, Lim Kita Siang yang memfokuskan kemenangan PH dalam PRK Tanjung Piai pada 16 November ini.

“Biarlah perkara remeh ini diselesaikan selepas kemenangan PH di Tanjung Piai nanti,” katanya.

Katanya lagi, susulan keterlanjuran Ahmad Faizal itu, beliau mengingatkan pemimpin-pemimpin PH agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan selepas ini.

“Ingatlah, selepas ini pemimpin-pemimpin PH harus berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada rasmi atau secara sembang berseloroh.

“Pepatah mengatakan…kerana pulut, santan binasa. Kerana mulut badan binasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya… Ooo… Tapi depa bukan ke gang satu kapal penyokong pengganas2?

Comments are closed.