Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz meninjau barangan keperluan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Destina 1 International, Datuk Seri Baraani (dua kanan) pada Perasmian Ibupejabat Destina dan Pelancaran Food Bank di Setiawalk Puchong, Selangor. foto IQBAL BASRI, 09 NOVEMBER 2019

PUCHONG – Pelaksanaan program Food Bank Malaysia yang diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah diagihkan kepada hampir setengah juta penerima.

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abdul Aziz berkata, jumlah itu direkodkan dua bulan selepas sejumlah 311,189 isi rumah menerima manfaat itu di seluruh negara hingga Ogos lalu.

“Setakat ini lebih kurang 5,000 pelajar golongan B40 telah mendapat manfaat di IPT daripada program ini.

“Jumlah penerima kini sudah mencecah 400,000 lebih yang terdiri daripada pelbagai peringkat komuniti termasuk pelajar dan isi rumah.

“19 daripada 20 IPTA sudah menerima bank makanan ini,” katanya kepada media selepas melancarkan Bank Makanan Destina1 International, di Puchong, hari ini.

Untuk rekod, Bank Makanan Destina1 International adalah bank makanan pertama yang dilancar daripada syarikat jualan langsung, di negara ini.

Dalam pada itu, Muez berkata, pihak KPDNHEP dalam perancangan membina pusat pengumpulan bank makanan untuk dijadikan pusat sehenti pengumpulan makanan dan pengedaran di masa akan datang.

“Pusat pengumpulan bank makanan juga akan dibina bagi memudahkan pengaliran makanan. Kita akan dapatkan bekalan daripada pelbagai penyumbang dan kita akan ada gudang khas untuk buat pengagihan.

“Cadangan itu masih di peringkat perbincangan dan dalam proses mengenalpasti lokasi yang sesuai,” katanya lagi.

Khamis lalu, Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, sehingga Ogos lalu seramai 311,189 isi rumah di seluruh negara telah mendapat manfaat daripada bank makanan yang dilancarkan.

Dalam tempoh itu, sebanyak 1,701 tan metrik lebihan makanan yang dianggarkan bernilai RM8.51 juta diagih kepada mereka  berkenaan. -MalaysiaGazette