Sebahagian daripada 6.2 kilogram dadah disyaki ketamin yang disorokkan di dalam 154 mangkuk besi pada sidang media mengenai kejayaan rampasan dadah di IPD Cheras, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 12 JUN 2019.

BARU-baru ini pihak polis dilaporkan berjaya merampas dadah bernilai RM6.45 juta selepas menahan 443 lelaki dan 25 perempuan berusia antara 18 tahun hingga 46 tahun menerusi Ops Damn Tokan 2.0 di seluruh negara.

Dadah yang dirampas adalah syabu, heroin, ganja, pil Erimin 5 dan pil ecstasy dengan berat keseluruhan 122 kilogram (kg). Kita ucapkan syabas dan tahniah kepada pihak polis yang secara
berterusan dan tanpa jemu melaksanakan operasi demi operasi bagi membendung dan memerangi masalah penyeludupan dan pengedaran dadah di negara kita.

Ini satu lagi kejayaan yang membuktikan kehebatan dan komitmen tinggi pihak polis yang boleh dibanggakan.

Ironinya ini bukan kali pertama polis berjaya merampas dadah, malah boleh dikatakan hampir setiap hari kita boleh membaca dalam media tentang tangkapan dan rampasan berkaitan dadah di seluruh negara.

Jadi persoalan utama di sini ialah kenapa masih begitu sukar untuk menemui titik noktah yang berkesan bagi mengatasi masalah dadah di negara kita. Ringkasnya bila masalah dadah ini nak selesai? Apakah masalah ini tidak mungkin dapat ditangani kerana ianya merupakan situasi yang terlalu ideal dan mustahil?

‘Hairan bin ajaib’ juga apabila semakin kita merampas dadah dan menangkap anggota sindiket yang terbabit, semakin menjadi-jadi masalah dadah di negara kita. Buktinya rampasan dadah semakin banyak, tangkapan sindiket dadah juga makin bertambah
dan lebih membimbangkan lagi apabila bilangan penagih di negara kita termasuk dalam kalangan pelajar sekolah dan belia juga dilaporkan terus bertambah.

Bayangkan apa kesan buruknya kepada negara dan masyarakat jika senario ini berterusan. Jadi semua pihak perlu memandang serius masalah dadah ini. Walaupun sudah lama kita isytihar dadah sebagai musuh nombor satu negara tetapi masih ramai warga kita berkawan rapat dengan musuh utama ini. Sama ada mereka sedar atau tidak musuh ini bakal menghancurkan masa depan mereka.

Jika kita tidak mahu perkara ini berlaku marilah memasang tekad dan azam untuk memerangi dadah secara habis-habisan. Musuh dalam selimut ini tidak boleh dibiarkan terus bermaharalela sehingga menjadi wabak dan virus yang sukar dikawal, dicegah dan diubati.

Tatkala kita terus mengharapkan komitmen pihak berkuasa untuk melaksanakan operasi mencegah dan membanteras aktiviti dadah ini, jangan pula lupa tanggungjawab kita dalam memerangi dadah. Ibu bapa dan ahli keluarga misalnya sebagai individu yang paling rapat dengan anak-anak perlu membentuk dan mendidik mereka agar membenci dadah sejak dari kecil lagi.

Pembentukan sikap dan tabiat membenci dadah perlu diterap dari kecil kerana umpama melentur buluh dari rebungnya ia boleh kekal tersemat dalam minda dan sanubari sampai bila-bila.
Tembok pemisah antara anak dengan dadah perlu dibina sejak anak itu lahir.

Didikan agama juga wajar dijadikan sebagai benteng utama yang boleh mengawal dan mengekang diri anak-anak dari tergoda dan terjebak dengan najis dadah. Hal ini penting kerana semua agama menganjurkan agar penganutnya menjauhi najis
seperti ini yang boleh memudaratkan diri serta menghancurkan masa depan.

Ibu bapa juga perlu ambil tahu dan peduli dengan aktiviti anak mereka di luar rumah terutamanya dengan siapa mereka berkawan. Sesibuk manapun kita termasuk dengan alasan mencari rezeki untuk keluarga, tanggungjawab ini tidak boleh
diabaikan. Hal ini penting kerana salah satu faktor utama belia terlibat dengan dadah ialah pengaruh rakan sebaya terutamanya belia yang bermasalah. Ini ditambah pula dengan masalah pengaruh media sosial yang turut mengeruhkan lagi keadaan.

Masyarakat juga perlu memainkan peranan dan memikul tanggungjawab. Sikap tidak peduli apa yang berlaku di sekeliling kita menyebabkan aktiviti dadah terus berlaku merata tempat termasuk di taman perumahan.

Bagi penulis dalam konteks ini tidak salah untuk kita menjaga tepi kain orang asalkan niat kita baik. Paling mudah
laporkanlah dengan segera kepada pihak berkuasa jika didapati ada berlaku sebarang aktiviti yang mencurigakan di sekeliling kita sebelum nasi menjadi bubur.

Ayuh marilah kita memerangi dadah habis-habisan. Jangan biar dadah merosakkan masyarakat dan menghancurkan masa depan belia dan negara. Katakan tidak pada
dadah!

Penulis adalah Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi UPM