Wan Sukairi Wan Abdullah

KUALA TERENGGANU – Garis panduan patuh syariah untuk etika pemakaian atlet negeri termasuk atlet gimnastik wanita masih dalam proses perangkaan dan belum lagi dilaksanakan buat masa ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya sedang merangka garis panduan tersebut yang bukan sahaja meliputi aspek pemakaian, tetapi aspek-aspek syariah yang lain.

“Garis panduan patuh syariah masih dalam proses pemurnian untuk kita perhalusi dan ia akan meliputi semua aspek, bukan sekadar etika pemakaian sahaja.

“Kalau pun garis panduan ini akan diguna pakai suatu hari nanti, atlet beragama lain tidak akan dipaksa untuk mengikuti garis panduan yang disediakan untuk atlet Muslim nanti,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan demikian terhadap persoalan yang ditimbulkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai pendirian kerajaan negeri berhubung pemakaian atlet gimnastik wanita ekoran laporan Channel News Asia (CNA) semalam bahawa bahawa garis panduan itu boleh menjejaskan impian atlet gimnastik wanita yang berbakat dari Terengganu untuk mengambil bahagian dalam Sukan Malaysia (SUKMA).

Wan Sukairi berkata, pihaknya belum memutuskan sama ada akan menghantar gimnas wanita ke SUKMA 2020 di Johor nanti kerana pendaftaran atlet untuk kejohanan tersebut belum dibuka.

“Atlet berbangsa dan agama lain tidak dihalang untuk menyertai sukan itu (gimnastik) asalkan melepasi kelayakan dan berpotensi meraih sebarang pingat.

“Cuma di Terengganu agak sukar untuk mendapatkan atlet berbangsa Cina atau lain-lain yang berpotensi dalam sukan gimnastik, renang atau wushu kerana mereka lebih bertumpu kepada pencapaian akademik,” katanya.

Bagaimana pun kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) akan menghantar semua atlet berpotensi tinggi mewakili kontinjen negeri setelah mendapat kelulusan oleh jawatankuasa pengurus terlebih dahulu, katanya. – Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.