PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut apabila kenderaan dipandunya terbabas dan terbakar di Jalan Pasir Pelangi, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah, Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais berkata, mangsa Foo Chor Lap, 24, berasal dari Subang Jaya dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami cedera parah di bahagian kepala dan dada.

“Dalam kejadian kira-kira 8.45 malam itu, mangsa yang memandu kereta jenis Honda Civic warna putih dari arah Bakar Batu menghala ke pusat bandar dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar tembok batu pembahagi jalan.

“Akibat daripada pelanggaran itu, kereta terbabit telah terbabas dan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan serta telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bahagian depan kenderaan itu terbakar selepas melanggar tembok pembahagi jalan.

Bedah siasat akan dilakukan di Hospital Sultanah Aminah hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama