BATU CAVES – Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada lagi konsep monopoli dalam pemberian permit import (AP) dalam Kerajaan Baru khususnya makanan berasaskan pertanian.
“Tiada lagi monopoli…tiada lagi monopoli,” katanya secara ringkas sebelum beredar ke satu lagi majlis di Melaka, sebentar tadi.
Terdahulu Anwar merasmikan Majlis Jalinan Mesra Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) 2019 di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang, pagi ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Sim Tze Tzin; Ahli Parlimen Selayang, William Long Jee Keen, Ahli Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi.
Dalam pada itu, Anwar juga melahirkan kebimbangan terhadap nilai import makanan negara dari luar negara yang terlalu tinggi sedangkan sektor pertanian berpotensi untuk dikomersialkan.
“Import makanan ternak ini terlalu tinggi untuk negara dan penduduk di negara ini, nilai import sehingga RM52 bilion, ikan daging dan makanan ternakan itu terlalu tinggi.
“Kita sekadar ada penyelidikan Mardi dan dari dulu saya lihat beberapa kajian itu menarik cuma tidak dapat diterjemah dan dilaksanakan di peringkat komersial,” katanya.
Anwar turut mengalu-alukan kesediaan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) untuk mengembalikan sebahagian saham badan itu kepada NAFAS dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).
“Bila Lembaga Padi Negara (LPN) diswatakan, jangan tanya saya, masa itu saya tak setuju, ketika itu cadangkan agar saham diberikan kepada Nafas dan Nikmat
“Bila diswastakan hasil dapat kepada pihak swasta dan ahli tidak mendapat apa-apa manfaat.
“Sekarang Bernas setuju untuk kembalikan sebahagian saham kepada NAFAS dan NEKMAT,” katanya lagi. – MalaysiaGazette