Mohamad Sabu. foto FAREEZ FADZIL 24 OKTOBER 2019

MELAKA – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menegaskan tiada perbuatan ‘kuda menguda’ atau memperguna antara satu sama lain dalam Pakatan Harapan (PH).

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata parti dalam PH iaitu PKR, DAP, Bersatu dan Amanah mempunyai kerjasama yang erat dalam menyelesaikan pelbagai isu rakyat dan beliau yakin hubungan itu akan kekal kukuh sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Sebarang isu termasuk berbeza pandangan kita selesai dalam mesyuarat sama ada politik dalam Majlis Tertinggi PH atau kerajaan dalam Kabinet, setelah dibincang, diambil keputusan dan bila Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) umum, itu keputusan kita bersama.

“Tidak sukar (bekerjasama), cuma berbeza pandangan adalah perkara biasa yang akhirnya keputusan itu dibuat bersama, saya yakin melalui kerjasama ini PH akan menang PRU15 nanti kerana kita telah memberi khidmat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Amanah Melaka di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Adly Zahari yang juga Pengerusi Amanah negeri, Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (Ketua Penerangan PKR) dan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Melaka Datuk Tey Kok Kiew (Pengerusi DAP Melaka).

Ketika berucap merasmikan konvensyen itu, Mohamad menyeru rakyat negara ini menyokong pakatan serta pemimpin yang mampu menjaga rakyat dengan baik tanpa mengira kaum.

Beliau juga mengingatkan rakyat khususnya anggota parti Amanah supaya tidak mempercayai hasutan yang dimainkan pihak pembangkang terutama yang berbaur perkauman.

Mohamad juga mengingatkan rakyat negara ini supaya menghargai pengorbanan anggota keselamatan dalam memastikan keamanan di negara ini kerana tanpa pengorbanan itu, rakyat tidak akan dapat menikmati keselesaan hidup seperti sekarang. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast