Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menyerahkan Blue Ribbon kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes pada Majlis Pelancaran Global No Smoking and Dengue Campaign di Red Q, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2),Sepang. foto IQBAL BASRI, 11 NOVEMBER 2019

SEPANG – Kumpulan AirAsia menghentikan penjualan produk tembakau sama ada dalam penerbangan mahupun melalui platform atas talian, Ourshop sejak bulan lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, syarikat penerbangan tambang murah itu bakal kehilangan pendapatan produk tembakau bernilai RM9 juta setahun susulan langkah terbaharu itu.

Bagaimanapun menurutnya, beliau mahu mempromosikan gaya hidup sihat terutamanya kepada golongan muda.

AirAsia juga menurut Tony sedang dalam perancangan untuk menghentikan penjualan arak, namun beliau tidak memberikan sebarang tempoh masa secara khusus.

“Kami tidak mahu tergesa-gesa untuk menghentikan penjualan arak kerana kami mahukan melakukannya dengan betul tetapi AirAsia memang mahu mempromosikan gaya hidup sihat.

“Tiada arak di bangunan ini (RedQ).

“Satu lagi perkara yang kami mahu fokuskan di dalam penerbangan adalah makanan yang kami hidangkan supaya ada pilihan yang lebih sihat.

“Kami lihat sudah ramai orang yang mulai sedar (kepentingan menjaga kesihatan).

“Selama ini, jika saya mengetahui apa yang saya tahu sekarang iaitu mengenai gula, garam dan minyak mungkin saya tidak kelihatan seperti ini (lebihan berat badan).

“Tetapi untuk saya ianya sudah terlambat, cuma saya harap pekerja-pekerja saya yang lebih muda (dapat mengamalkan gaya hidup sihat),” katanya semasa sidang media selepas menghadiri majlis pelancaran Kempen Larangan Merokok AirAsia di ibu pejabatnya di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

AirAsia menjadi syarikat penerbangan pertama yang melaksanakan dasar bebas penjualan produk tembakau dalam penerbangan di samping mengenakan larangan merokok dengan jarak 500 meter dari premis pejabatnya di seluruh dunia.

Di atas inisiatif berkenaan, syarikat penerbangan tambang murah itu dianugerahkan Anugerah Pencapaian Cemerlang Kempen Blue Ribbon oleh Kementerian Kesihatan.

Anugerah Blue Ribbon diberikan kepada individu yang membuat sumbangan penting dalam memulakan dan menyumbang kepada persekitaran bebas asap rokok.

Selain melaksanakan zon larangan merokok, AirAsia turut menyediakan program bantuan kesihatan seperti klinik berhenti merokok, kaunseling dan rujukan untuk membantu kakitangannya berhenti daripada habit buruk tersebut

Menurut Tony, beliau sentiasa mahu melihat persekitaran hidup yang sihat dapat dinikmati oleh setiap individu.

“Jika anda dapat berhenti merokok, mungkin ini boleh menjadi ikutan kepada anak-anak.

“Saya lihat kini, terlalu ramai kanak-kanak yang sudah mula merokok dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah, sama ada suka-suka atau untuk kelihatan bergaya,” katanya lagi.- MalaysiaGazette