Setiausaha Agung Islamic Financial Services Board, Dr. Bello Lawal Danbatta di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) mensasarkan jumlah aset kewangan Islam mencecah US$3 trilion menjelang tahun 2030.

Setakat suku kedua 2018, nilai aset kewangan Islam berjumlah US$2.19 trilion, kenaikan 6.9 peratus berbanding US$2.05 trilion pada suku yang sama 2017.

Setiausaha Agung IFSB, Dr Bello Lawal Danbatta berkata, jumlah aset itu bagaimanapun lebih rendah berbanding jangkaan akibat terjejas dengan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China dan faktor harga minyak dunia.

Punca-punca ini juga telah mengakibatkan sistem kewangan lain turut terjejas.

“Jika anda lihat secara khusus di negara-negara Muslim yang mendominasi pengeluaran, produk-produk utama, eksport berkaitan minyak – apabila harga minyak terjejas, secara tidak langsung aliran pelaburan termasuk transaksi perniagaan juga terjejas, meskipun tiada krisis pada tahun 2007.

“Sejak kebelakangan ini pula, beberapa ekonomi besar yang aktif telah dilanda penurunan nilai mata wang, sekali gus menyumbang kepada kadar pertumbuhan rendah.

“Walau bagaimanapun, kewangan Islam masih stabil dan kita mencapai pertumbuhan lebih 6 peratus,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Bagi suku kedua 2018, sektor perbankan dan pasaran modal serta takaful menyaksikan pertumbuhan stabil tahun ke tahun dengan perbankan Islam berkembang melebihi 15 peratus.

Menurutnya, sejak krisis kewangan dunia pada tahun 2008, kewangan Islam menyaksikan pertumbuhan pesat berbanding konvensional dan prestasi ini dijangka terus meningkat.

Prestasi memberangsangkan ini disebabkan kewangan Islam unik – ia bersandarkan kepada aset-aset asas dan tidak begitu terdedah kepada lindung nilai atau dagangan derivatif mahupun transaksi pukal bukan aset.

“Ia memang bergantung kepada ekonomi sebenar dan ini memberi kestabilan berbanding sistem konvensional,” katanya yang menyifatkan prestasi kewangan Islam sangat cemerlang, walaupun mencabar.

Menjawab pertanyaan, Bello menjangkakan perang perdagangan dan geopolitik tidak akan memberi kesan besar kepada kewangan Islam kerana permintaan untuk terbitan sukuk baharu sentiasa ada.

Pasaran modal berkembang 26.9 peratus pada tahun 2017 hingga 2018 dan kini terdapat minat baharu untuk terbitan sukuk – ia bukan sekadar terbitan sukuk tradisional untuk infrastruktur tetapi terbitan untuk sukuk hijau bagi perubahan iklim dan inisiatif tanggungjawab sosial.

“Jadi kita akan lihat banyak permintaan disebabkan kekurangan infrastruktur di kebanyakan ekonomi, selain kekurangan modal atau bajet defisit, mendorong terbitan pasaran modal kerana instrumen itu membuka jalan kepada pertumbuhan stabil.

“Saya menjangkakan lebih banyak peluang bagi kewangan Islam pada masa depan berbanding apa yang ada sekarang. Oleh sebab itu, kita tidak bimbang dengan ketegangan geopolitik,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kadar pertumbuhan sektor perbankan tahun ke tahun antara 2017 dan 2018 adalah lebih rendah iaitu 1 peratus manakala kadar purata pertumbuhan sektor insurans 4.3 peratus.

Selain itu, Bello menambah, kemajuan teknologi dan inovasi turut memberi peluang untuk meneroka peluang baharu kewangan Islam yang lebih inklusif, termasuk yang tidak ditawarkan oleh bancatakaful.

“Sebab itu, kami percaya masa depan kewangan Islam sangat cerah dan terus berkembang. Kami berharap pada 2030 asetnya mencapai US$3 trilion namun ia bukan jangkaan.

“Kami mengunjurkan lebih banyak terbitan dan minat daripada pasaran-pasaran baru muncul untuk memperkenalkan kewangan Islam. Ini kerana, terdapat minat terhadap kewangan Islam dalam kalangan negara-negara minoriti Muslim untuk dijadikan kewangan alternatif,” ujarnya. – MalaysiaGazette