KUALA LUMPUR – Shopee, platform e-dagang utama di Asia Tenggara dan Taiwan, menamatkan kempen jualan terbesarnya 11.11 Big Sale dengan 70 juta barangan dijual pada Isnin dan menerima tiga kali ganda pesanan dalam jam pertama kempen itu berbanding pada 2018.

Shoppe dalam satu kenyataan hari ini berkata, peruncit yang meraih keuntungan paling besar termasuklah Tefal, Skechers dan Acer, yang masing-masing mencatatkan peningkatan pesanan 3,408-kali, 2,870-kali and 1,743-kali.

“Pendatang baharu di Shopee, KFC mencatatkan jualan memberangsangkan dengan bilangan pesanan tertinggi daripada kategori makanan dan minuman.

“Jumlah hidangan KFC yang dibeli di Shopee boleh dimakan oleh keseluruhan penduduk Putrajaya dan jenama restoran makanan kegemaran Malaysia ini juga dicari hampir setengah juta kali di Shopee pada 11 Nov itu sendiri,” kata syarikat itu.

Sementara itu, Shopee berkata ia terus melihat lebih ramai pengguna lelaki dan yang lebih berusia membeli belah pada 11 Nov, dengan pembeli lelaki cenderung membeli gajet mudah alih dan aksesori teknologi.

“Kata kunci seperti power bank, speaker, fon telinga dan iPhone dicari lebih 2.9 juta kali,” kata syarikat itu.

Bagi pengguna berusia lebih 50 ahun, mereka mengambil peluang itu untuk membeli barangan berkaitan kesihatan seperti Nestle Omega Plus Milk Powder dan pemantau tekanan darah serta keperluan isi rumah seperti pencuci, cecair pencuci pinggan dan pengelap lantai.

Mengulas mengenai prestasi Shopee di Malaysia, Pengarah Urusan Serantaunya Ian Ho berkata ini bukan semata-mata kejayaan syarikat itu tetapi kejayaan yang dikongsi oleh keseluruhan industri runcit Malaysia.

“Meskipun 11.11 menjadi festival membeli belah global, Shopee dapat turut membawa bersama rantau ini menyertainya dengan berjaya menyetempatkan kempen itu bagi memenuhi kehendak dan keperluan penggunanya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shopee juga melancarkan kempen amal sulungnya #ShopeeMAKNA 11.11 Charity Challenge, bersama dengan Majlis Kanser Nasional (MAKNA), bersempena dengan 11.11 Big Sale, dengan sasaran mengumpulkan dana bagi rawatan pesakit kanser yang kurang bernasib baik.

Platform e-dagang itu mengumpulkan RM114,170 bagi MAKNA dalam masa hanya tiga minggu.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast