KUALA LUMPUR – “Aliff (Aziz) baik-baik saja,” itu yang dikatakan oleh ibu pelakon dan penyanyi yang baru-baru ini ditangkap pihak berkuasa Singapura.

S Hafiza Basharahil dalam masa yang sama berharap agar warganet tidak terus menghukum anak lelakinya, sebaliknya mendoakan Aliff.

Hafiza selain itu yakin apa yang berlaku kepada anaknya dan keluarganya mempunyai hikmah di sebaliknya.

“Kepada yang bertanya mengenai anakanda kami, Aliff, alhamdulillah, berkat doa orang ramai, dia okay. Lebih-lebih lagi selepas bertemu dengan anaknya, Ayden. Insya Allah… Aliff baik-baik sahaja.

“Setiap perkara yang berlaku ada hikmah, hanya Allah saja yang tahu apa yang tersirat di sebaliknya.

“Semoga kita terus bersimpati sesama insan dan janganlah menghakimi orang lain. Dengan rasa rendah diri, saya ingin berterima kasih atas doa kalian… Ia cukup berharga buat kami,” katanya menerusi instagram.

Rakaman video memaparkan Aliff sedang mendukung anaknya, Ayden Adrean di kediaman mereka di Singapura.

Turut kelihatan pada paparan video itu adalah bekas isteri Aliff, Bella Astillah.

Sejak Ahad lalu dua video memaparkan Aliff tular di media sosial, bergelut dengan anggota polis yang cuba menahannya.

Aliff yang dilaporkan mabuk, ditahan di Orchard Road, Singapura, kira-kira jam 6.40 pagi dipercayai atas dakwaan mengganggu ketenteraman awam. – MalaysiaGazette