Presiden parti Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Gerakan didakwa memfitnah dan satu laporan polis dibuat oleh Setiausaha Politik Menteri Pendidikan, Mahmood Kassim hari ini.

Laporan polis terhada Dr. Dominic Lau Hoe Chai bagi menafikan kenyataan Dominic sebelum ini yang didakwa menfitnah dengan menggunakan fakta salah serta menyebarkan persepsi negatif terhadap menteri pendidikan dan pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Memfitnah dengan kesalahan fakta dan penyebaran persepsi negatif sebegini boleh mengganggu gugat hubungan baik antara kedua-dua negara dan membantutkan proses silang pendidikan serta kemajuan negara,” kata Mahmood.

Pada 10 November lepas, Dominic meminta Kementerian Pendidikan memberi penjelasan berhubung program pertukaran guru bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dari Arab Saudi ke negara ini.
Iklan

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan persetujuan itu dicapai menerusi pertemuan Dr. Maszlee Malik bersama Menteri Pendidikan Arab Saudi, Dr Hamad Mohammed Al Shaikh baru-baru ini.

Dominic pula mendakwa penjelasan berhubung perkara berkenaan penting kerana ia dilihat agak mengecewakan memandangkan Bahasa Inggeris bukanlah bahasa pertuturan mahu pun bahasa ibunda di Arab Saudi.

Beliau juga mempertikaikan menteri pendidikan yang didakwanya memutuskan untuk membawa masuk guru yang lemah dari Arab Saudi untuk mengajar penuntut di sekolah.

Dalam pada itu, Mahmood menafikan kehadiran guru-guru dari Arab Saudi itu bertujuan mengajar murid sekolah, sebaliknya mereka datang untuk belajar sistem pendidikan di negara ini.

“Guru-guru Arab Saudi akan dihantar ke Malaysia untuk belajar daripada sistem pendidikan negara melalui Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Mereka akan didedahkan dengan metod pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Mereka bukan diupah untuk mengajar di murid-murid negara kita,” ujarnya.- MalaysiaGazette