A. Kadir Jasin

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) perlu mengambil tanggungjawab selepas Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), Amerika Syarikat menurunkan penarafan keselamatan ruang udara Malaysia.

Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A.Kadir Jasin menegaskan, Kementerian Pengangkutan juga mesti berkongsi beban tanggungjawab dan rasa malu di atas peristiwa yang memalukan itu.

Wartawan veteran itu turut berharap kerajaan bertindak dengan cepat untuk menangani keadaan dan memulihkan keyakinan di kalangan industri penerbangan dunia.

“Saya fikir ‘beliau’ dan pengurusan atasannya di CAAM perlu mengambil tanggungjawab untuk peristiwa yang memalukan ini.

“Saya berharap kerajaan juga bertindak dengan cepat untuk menangani keadaan dan memulihkan keyakinan.

“Tidak kira hanya satu syarikat penerbangan Malaysia yang berdaftar ketika ini iaitu AirAsia X yang terbang ke Amerika Syarikat iaitu ke Hawaii, penurunan AS boleh memberi kesan negatif terhadap keseluruhan spektrum penerbangan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Kadir menambah, keputusan FAA itu merupakan tamparan berganda yang berlaku menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 dan ketika kerajaan baharu sahaja mengangkat bidang penerbangan sebagai salah satu pemacu utama ekonomi.

Malah tegas beliau, mekanisme pengawalseliaan yang berkaitan dengan semua penerbangan mesti dipertimbangkan.

“Kita tidak boleh mempunyai penjawat awam dan pelantik kerajaan yang terlibat dalam egoisme dan jingoisme,” katanya lagi.

Semalam, media melaporkan FAA telah menurunkan penilaiannya terhadap keselamatan penerbangan Malaysia dari Kategori 1 ke Kategori 2.

CAAM dalam kenyataanya pula berkata keputusan FAA menurunkan taraf keselamatan udara Malaysia adalah disebabkan kelemahannya sebagai sebuah pengawal selia penerbangan, selepas FAA menjalankan penilaian pada April 2019.

Keputusan turun-taraf itu dilapor oleh Reuters tanpa mendedahkan sumber maklumat dan kini tersebar meluas setelah diulang lapor oleh media antarabangsa.

Dalam pada itu, Pengerusi CAAM Ahmad Ridzwan Mohd Salleh dalam satu kenyataan berkata, Ketua pegawai eksekutif CAAM telah mengemukakan peletakan jawatannya pada 1 November lalu.

“Sementara itu, jawatankuasa eksekutif lembaga telah ditubuhkan untuk mengawasi operasi CAAM.

“Kementerian Pengangkutan telah dimaklumkan tentang perkembangan dalaman ini,” katanya.

Sementara itu, penarafan baharu FAA itu bermakna syarikat-syarikat penerbangan Malaysia ketika ini dilarang menawarkan perkhidmatan ke AS. Mereka juga tertakluk kepada pemeriksaan tambahan di lapangan terbang AS.

Di bawah Kategori 2, FAA juga tidak mebenarkan pengaturan perkongsian kod antara syarikat penerbangan AS dan Malaysia.

Penurunan penarafan itu meletakkan Malaysia sama kategori dengan Thailand yang penarafannya diturunkan ke Kategori 2 pada Disember 2015 dan sejak itu negara tersebut masih tidak berjaya naik ke Kategori 1.

Negara lain yang berada dalam Kategori 2 ialah Bangladesh, Ghana dan Costa Rica. – MalaysiaGazette