Tan Sri Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersendakan pendakwaan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sikap terpuji.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa melahirkan rasa kesal dengan sikap yang ditunjukkan bakal Perdana Menteri ke-8 itu sedangkan ketika Anwar berdepan dengan kes liwat, tiada pemimpin tertinggi UMNO melakukan perkara sama.

“Kita kesal dengan ucapan Anwar Ibrahim malam ini yang mempersendakan Najib dan kesnya yang sedang berjalan.

“Saya tidak ingat sesiapa pemimpin tertinggi mempersendakan kes Anwar dan dijadikan sindiran di khalayak awam (bahkan) menunjukkan gembira atas musibah orang lain bukan satu sikap terpuji,” katanya ketika menciap di Twitter malam tadi.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkannya Najib membela diri atas semua tujuh pertuduhan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya membabitkan dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang membaca ringkasan keputusan itu selama kira-kira sejam memerintahkan Najib membela diri atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik syarikat SRC.

Mahkamah menetapkan 3, 4, 9 hingga 12 dan 16 hingga 19 Disember ini untuk Najib dibicarakan. – MalaysiaGazette