Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Para penjawat awam tidak boleh terus hidup ‘di istana masing-masing’, sebaliknya perlu mengerahkan tenaga untuk memainkan peranan utama mereka sebagai penghubung di antara kerajaan dengan rakyat dan sebaliknya.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Khairul Adib Abd. Rahman mengingatkan, penjawat awam diibaratkan sebuah kenderaan yang dipandu oleh kerajaan (pembuat dasar).

Sekiranya, kenderaan tersebut tidak berfungsi dengan baik, rakyat akan menderita.

Tambahnya, berdasarkan apa yang diluahkan rakyat dalam blog-blog dan media massa ketika ini, mereka sentiasa mengaitkan penjawat awam dengan perkara-perkara yang negatif seperti lembap dan tidak cekap.

“Bila dibaca komen-komen yang terdapat di blog-blog tersebut, hampir 99 peratus mengutuk kakitangan awam, terlalu sukar untuk mencari komen-komen yang mempertahankan penjawat awam.

“Sekarang ini, ada juga menteri-menteri Kabinet yang cakap kita tidak memberi kerjasama.

“Jadia siapakah kita ini? Adakah kita akan terus tinggal di ‘dalam istana kita sahaja?’

“Setiap bulan kita terima gaji, untuk apa?” katanya semasa menyampaikan ucapan aluan sempena Siri Forum Menteri 2019 anjuran Institut Tadbir Negara (Intan) yang membincangkan tajuk Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) di sini hari ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali dijemput untuk menyampaikan ucaptama di forum berkenaan.

Menurut Khairul Adib, dengan pelancaran WKB 2030 baru-baru ini, semua penjawat awam perlu menghayati dan memahami intipati wawasan tersebut kerana sebagai jentera kerajaan mereka perlu mengambil peluang berkenaan untuk menyumbang ke arah kejayaan dasar terbaharu negara itu.

Katanya, setiap pimpinan di kementerian, agensi mahu pun badan berkanun perlu mendakap intipati WKB 2030 dan tidak hanya menyerahkan kepada beberapa orang menteri Kabinet sahaja yang memperjuangkannya.

Kemakmuran bersama katanya, perlu diperjuangkan dan dipastikan berjaya supaya dapat dinikmati oleh semua rakyat di negara ini tanpa mengira latar belakang.

“Jika kita sendiri tidak yakin dengan wawasan tersebut, kita tiada tempat di sini kerana tiada agenda peribadi dalam kakitangan awam,” tegasnya.

Tambah Khairul Adib, tiada satu formula khusus berkesan yang boleh digunakan oleh penjawat awam untuk memastikan WKB 2030 berjaya kerana setiap jabatan mempunyai kepakaran masing-masing.

Apa yang penting menurut beliau, adalah penyampaian perkhidmatan supaya rakyat dapat merasai manfaat daripadanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast