Datuk Dr. Wee Jeck Seng

PONTIAN – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wee Jeck Seng menggunakan baki masa beberapa jam untuk berkempen dengan menyampaikan pesanan kepada para pengundi di Parlimen Tanjung Piai.

Beliau mengingatkan agar pengundi yang akan menunaikan tanggungjawabnya esok tidak teruja dengan kemeriahan kempen ditonjolkan Pakatan Harapan (PH) kerana semua itu akan hilang selepas tamatnya pilihan raya kecil (PRK).

“PRK ini memberikan maksud yang mendalam dan bermakna. Keputusannya nanti akan memberikan isyarat daripada rakyat kepada kerajaan hari ini.

“Sudah 18 bulan mereka yang bergaji besar dalam PH dilihat begitu angkuh apabila langsung tidak mempedulikan rintihan rakyat. Mereka fikir kemenangan yang dicapai pada PRU-14 itu hak mereka.

“Di Parlimen mereka hanya tahu ponteng dan membisu tentang perihal hak rakyat. Selepas PRK ini Perdana Menteri dan jemaah menterinya sudah pasti tidak akan menjejakkan kaki ke Tanjung Piai lagi.

“Kampung halaman ini akan ditinggalkan dan tuan puan serta saya sahaja yang akan menjaganya,” katanya menerusi video yang ditularkan bagi meraih sokongan daripada pengundi di kawasan Parlimen berkenaan.

Dalam pada itu, Jeck Seng menggesa pengundi-pengundi yang berada di luar Tanjung Piai agar dapat pulang beramai-ramai untuk membuang undi dengan memilih calon nombor dua bagi menambah suara pembangkang di Parlimen demi menjaga hak rakyat. – MalaysaiaGazette