KUALA LUMPUR -Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menafikan sekeras-kerasnya penularan surat palsu daripada Pejabat Setiausaha Agung PKR yang mengarahkan anggota parti itu tidak akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, esok.

Fahmi berkata, surat palsu itu dipercayai direka oleh musuh politik Pakatan Harapan (PH) yang berterusan mahu mencetuskan salam faham dalam kalangan parti komponen parti pemerintah itu.

“Surat ini jelas direkayasa musuh politik PH yang mahu mencetus salah faham di kalangan anggota Keadilan dan rakan-rakan PH.

“Ia adalah tindakan kotor lagi terdesak puak-puak yang enggan berpolitik secara sihat,” katanya dal satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas penularan surat palsu di media sosial hari ini yang menggunakan kepala surat pejabat Setiausaha Agung PKR dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Surat palsu itu antara lain mengarahkan semua anggota PKR agar tidak keluar mengundi dalam PRK Parlimen Tanjung Piai, esok.

Menurut surat yang bertarikh 15 November 2019, mesyuarat Biro Politik PKR telah diarahkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung proses pengundian, esok.

Tindakan itu bertujuan memberi tekanan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad supaya mematuhi perjanjian penyerahan kuasa Perdana Menteri kepada Anwar seperti mana yang dipersetujui oleh Majlis Presiden PH.

Dalam pada itu, Fahmi turut mengulangi pendirian PKR bahawa parti itu menyokong sepenuhnya calon PH daripada Bersatu, Karmaine Sardini dalam PRK Tanjung Piai.

“Keadilan mengulangi sokongan parti buat calon PH, Hj Karmaine Sardini (Calon No 4) dan menggesa semua anggota Keadilan untuk mengundi dan membantu memenangkan calon PH,” katanya lagi. – MalaysiaGazette