KUALA LUMPUR – Kereta Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran di baling telur lewat malam tadi ketika beliau sedang sibuk bermesyuarat di sebuah restoran di Sentul.

Kereta itu dipakirkan oleh pemandu Prabakaran sebelum pulang ketika Ahli Parlimen itu masih lagi bermesyuarat.

Sejurus selepas tamat mesyuarat, Prabakaran terkejut hampir keseluruhan kereta Toyota Velfire berwarna putih miliknya telah di baling puluhan biji telur.

Malaysiakini melaporkan Prabakaran kemudian membuat laporan polis berhubung insiden tersebut di Balai Polis Sentul malam tadi juga.

Laporan tersebut menyebut Prabakaran membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan dirinya, lagi-lagi dengan krisis yang melanda dirinya selepas segelintir NGO tempatan mendesaknya meletak jawatan bagi memberi laluan kepada mantan wakil rakyat Batu, Tian Chua.

Tian Chua bersama Prabakaran

Sebelum ini sebanyak 14 NGO mencadangkan supaya Prabakaran mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Naib Presiden PKR, Tian Chua untuk bertanding semula di kawasan berkenaan.

Cadangan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 6 November lalu, yang membuat ketetapan pelucutan hak pencalonan Tian Chua sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah tidak sah, sekali gus layak bertanding dalam pilihan raya.

Bagaimanapun Prabakaran menegaskan beliau tidak akan mengosongkan kerusi parlimen itu bagi memberi laluan kepada Tian Chua kembali menjadi wakil rakyat kawasan itu.

Sebaliknya, Prabakaran akan terus berkhidmat kepada rakyat secara telus dan adil walaupun menerima desakan daripada pihak tertentu supaya melepaskan jawatan.

“Sebagai seorang Ahli Parlimen PKR, saya ingin menyumbangkan tenaga dan usaha untuk kebaikan parti serta merealisasikan agenda reformasi.

“Saya akan terus berkhidmat untuk rakyat secara telus dan adil tanpa melepaskan mereka di pertengahan jalan,” kata Prabakaran semalam. –MalaysiaGazette

Biarkan Prabakaran berkhidmat di Parlimen Batu, jangan kecoh – MIC