Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Safawi Rasid menunjukkan trofi selepas merangkul Penyerang Terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2019 (ABK19) di Hotel Tenera, Bangi, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 15 NOVEMBER 2019

BANGI – Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Kapten Mohd. Anizam Jamian mengakui sikap untuk sentiasa berusaha meningkatkan kecemerlangan Johor Darul Ta’zim (JDT) sama ada di dalam dan luar padang menjadi resipi dominasi mereka pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2019 (ABK 2019).

Perkara itu sejajar melalui saranan yang sering diingatkan oleh Pemangku Raja Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim yang mahu JDT kekal dalam kelas tersendiri berbanding pasukan-pasukan lain.

ABK 2019 yang berlangsung kelmarin menyaksikan JDT membolot 12 anugerah yang diketuai Safawi Rasid apabila membawa pulang empat trofi selaku Pemain Paling Bernilai (MVP), Penyerang Terbaik, Pemain Paling Popular dan Penjaring Terbanyak bagi Pemain Tempatan dalam saingan Liga Super.

“Sebagaimana sering kali digagaskan oleh Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Pemangku Raja, JDT kena sentiasa class above the rest, pada setiap masa.

“InsyaAllah kita akan cuba kekalkan momentum ini dan sentiasa mencuba yang terbaik di tanah air setiap masa.

“Sekalung penghargaan dan setinggi menjunjung kasih kepada DYAM Pemangku Raja kerana selama ini membangunkan pasukan JDT sehingga peringkat yang amat membanggakan seperti hari ini,” katanya.

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Akhyar Abdul Rashid menunjukkan trofi selepas merangkul Pemain Muda Harapan pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2019 (ABK19) di Hotel Tenera, Bangi, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 15 NOVEMBER 2019

Selain itu, pemain JDT turut meraih anugerah lain seperti Farizal Harun (Penjaga Gol Terbaik), Hariss Harun (Pemain ASEAN Terbaik), Diogo Luis Santo (Pemain Import Terbaik) dan Akhyar Rashid (Pemain Muda Harapan).

Bagi kategori kelab, JDT turut mengekalkan keunggulan apabila memenangi anugerah Pasukan Terbaik, Penyokong Terbaik, Media Sosial Terbaik dan Laman Web Terbaik.

Dalam masa sama, Anizam memberikan penghargaan tinggi kepada warga dan penyokong JDT yang sentiasa bertungkus lumus serta kekal di belakang pasukan pada setiap masa.

“Malam ini boleh katakan malam JDT apabila kita mendominasi kebanyakan anugerah-anugerah malam ini, satu pencapaian yang keseluruhannya yang kita boleh banggakan.

“Jutaan terima kasih kepada peminat-peminat bola sepak khususnya JDT yang bersama pasukan semenjak dahulu lagi.

“Selain itu saya memberikan penghargaan kepada pihak penganjur yang saya boleh katakan ABK ini kali ini begitu meriah serta tahniah kepada Pengerusi ABK, (Mohd Joehari Ayub) kerana berjaya memastikan program malam ini berlangsung dengan baik,” katanya. – MalaysiaGazette

Foto Ihsan MFL