Ultras Malaya menaikkan gambar gergasi Harimau Malaya pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di antara Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan semua tiket perlawanan Malaysia menentang Indonesia yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil sudah habis terjual.

“Tiket telah habis terjual.

“Tiket perlawanan #AsianQualifiers Malaysia lwn Indonesia, Selasa ini telah pun habis terjual di www.tickethotline.com.my sebentar tadi.

“Dengan ini, tiada sebarang penjualan di kaunter tiket stadium pada hari perlawanan, Selasa ini,” kata FAM dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pasukan negara kendalian Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe akan melayan kunjungan Indonesia di perlawanan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 pada Selasa ini.

Pada aksi pertama awal September lalu, penyokong Malaysia yang bertandang ke Stadium Utama Gelora Bung Karno di Jakarta berdepan dengan detik-detik cemas iaitu suasana huru-hara yang boleh diibaratkan seperti sebuah peperangan.

Ini kerana sebaik sahaja tamat perlawanan, penyokong Malaysia terpaksa berlari keluar dari kawasan tempat duduk yang dikhaskan untuk penyokong pasukan pelawat.

Kekalahan Garuda 2-3 hasil jaringan gol pada masa kecederaan telah memburukkan lagi keadaan apabila sebahagian penyokong tuan rumah seolah-olah tidak boleh menerima hakikat dan bertindak di luar batasan kemanusiaan.

Semua penyokong pasukan negara termasuk Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah dikumpulkan di dalam ruangan VIP.

Ini berikutan tiada lagi ruangan lain di dalam dan luar stadium yang selamat untuk mereka hingga menyebabkan seorang penyokong negara patah tangan. – MalaysiaGazette