Teo Nie Ching.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini mengesahkan belum menerima apa-apa laporan berhubung kejadian dua pelajar sekolah rendah digigit anjing liar dalam kawasan sekolah di Sabah dan Negeri Sembilan.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching bagaimanapun berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) kedua-dua negeri itu dalam masa terdekat.

“Saya belum terima laporan ini lagi. Saya akan semak dengan Jabatan Pelajaran Sabah dan Negeri Sembilan untuk dapatkan laporan terperinci.

“Berlaku hari ini (tanya beliau)? Berlaku minggu lepas.

“Saya mohon maaf kerana saya memang tidak terima laporan terhadap insiden tersebut,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Di Ranau Sabah, seorang murid perempuan tahun satu parah diserang seekor anjing ketika pulang dari sekolah.

Kejadian kira-kira jam 1 petang ketika murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lipasu itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumah bersama beberapa rakan.

Bagaimanapun ketika berada kira-kira 300 meter dari luar kawasan sekolahnya, seekor anjing tiba-tiba mengejar kumpulan murid berkenaan menyebabkan mereka lari berpatah balik ke dalam sekolah.

Kejadian sama turut menimpa seorang murid di Sekolah Agama Rakyat Awaluddin Batu 7 Jalan Pantai Telok Kemang, Port Dickson.

Pada Jumaat lalu, seorang murid enam tahun cedera digigit anjing liar ketika mangsa sedang menunggu kelas dibuka dan secara tiba-tiba diserang seekor anjing yang menggigit di bahagian leher dan tangan mangsa. – MalaysiaGazette