Anthony Loke

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan telah menubuhkan pasukan petugas untuk menyelia langkah-langkah korektif yang diambil oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam usaha untuk memperoleh semula status kategori 1 selepas penurunan penarafan kepada Kategori 2 oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook hari ini.

Pasukan petugas lapan anggota itu, diketuai oleh veteran penerbangan, Datuk Ir Kok Soo Chon, terdiri daripada kakitangan teknikal yang berkelayakan dan pakar-pakar antarabangsa dalam bidang penerbangan dan mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang penerbangan – empat juruterbang, tiga jurutera dan seorang penyelaras teknikal.

Loke berkata dengan objektif untuk kembali pulih kepada status Kategori 1, pasukan petugas itu akan melaporkan kepada menteri pengangkutan dan anggota CAAM mengenai tahap kemajuan dalam menyelesaikan semua dapatan penilaian FAA.

Pasukan petugas itu bakal memuktamadkan semua langkah-langkah korektif di bawah dapatan Penilaian Keselamatan Penerbangan Antarabangsa FAA 33 (IASA) yang dikategorikan sebagai “status terbuka” dan isu lain yang berkaitan dalam tempoh 12 bulan, katanya.

“Selepas itu, FAA akan dijemput untuk menjalankan penilaian semula program IASA dengan objektif untuk mengkategorikan semula CAAM dari Kategori 2 kepada Kategori 1,” kata Loke pada sidang media di sini hari ini.

Loke berkata Kok akan mencari individu-individu yang relevan untuk menganggotai pasukan petugas tersebut untuk membolehkan pasukan itu memulakan tugasnya dengan segera.

Tiga warga asing dari Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) akan dilantik menganggotai pasukan petugas, katanya.

Menurut Loke, Kok bersetuju untuk mengetuai pasukan petugas dengan syarat bahawa dia tidak mahu satu sen pun dari upah dan elaun.

“Saya telah menghubungi beliau yang merupakan seorang veteran dalam bidang aviation dan banyak pengalaman. Beliau bersetuju untuk memberikan khidmat secara percuma kepada kerajaan untuk mengetuai task force ini,” katanya.

Mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyatakan Malaysia lulus audit FAA pada 2016, Loke berkata maklumat tersebut tidak benar.

“Audit terakhir (FAA) ialah pada 2003…16 tahun ini tidak pernah ada audit dari FAA. Jadi audit FAA yang terakhir ialah 2003 dan ketika itu Datuk Kok adalah Ketua Pengarah (DCA: Jabatan Penerbangan Awam) dan berjaya kekal status Category 1,” kata Loke.

Kok dilantik sebagai Ketua Pengarah Penerbangan Awam Malaysia pada 1999 dan bertanggungjawab untuk merumuskan draf perundangan dan rangka kerja bagi penubuhan pihak berkuasa penerbangan awam, pensijilan aerodrome bagi semua enam lapangan terbang antarabangsa dan pensijilan ISO 9000 untuk jabatan itu.

Beliau juga merupakan bekas wakil tetap majlis ICAO di Montreal.

Tidak lama selepas insiden kehilangan pesawat MH370, Kok dilantik sebagai ketua Penyiasat Pasukan Siasatan Keselamatan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia bagi MH 370 yang bertanggungjawab bagi pasukan penyiasat antarabangsa yang ditubuhkan untuk menjalankan siasatan terhadap tragedi itu.- BERNAMA