KUALA LUMPUR – Pelabur asing melupuskan sejumlah RM408.5 juta ekuiti tempatan minggu lalu berbanding RM237.2 juta pada minggu sebelumnya.

Dalam laporan mingguannya, MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research (MIDF Research) berkata, minggu lalu bermula dengan perlahan selepas pelabur antarabangsa menjual ekuiti tempatan sebanyak RM129.3 juta pada hari Isnin.

Aktiviti jualan itu dipacu oleh protes ganas di Hong Kong, yang menyebabkan Indeks Hang Seng menghadapi kejatuhan terbesar keempat tahun ini.

“Aliran keluar bersih asing berkurangan kepada RM12.9 juta pada Selasa ketika para pelabur menunggu ucapan Presiden Donald Trump mengenai dasar perdagangan Amerika Syarikat dan berita yang mungkin akan menunda keputusan melaksanakan tarif ke atas auto Eropah.

Pelabur antarabangsa menjual sebanyak RM141.2 juta pada hari Rabu, menyebabkan barometer saham tempatan menghadapi penurunan terbesar sejak awal September 2019.

Firma penyelidikan itu menambah, gelombang kejutan telah dihantar ke seluruh pasaran selepas Trump membayangkan tarif ke atas China akan dinaikkan jika tiada perjanjian dibuat.

Pelabur asing menjual RM68.2 juta ekuiti tempatan pada hari Khamis selepas data ekonomi China yang lemah menunjukkan keperluan untuk satu perjanjian perdagangan fasa dengan Amerika Syarikat untuk memulihkan keyakinan perniagaan.

Keluaran perindustrian China naik 4.7% tahun ke tahun di bawah jangkaan sebanyak 5.4% manakala pelaburan aset tetap meningkat pada kadar yang paling lambat pada data sejak tahun 1998.

MIDF Research berkata, pelabur luar pesisir meneruskan jualan pada pada hari Jumaat selepas RM57 juta bersih ekuiti tempatan dilupuskan.

Penjualan ini dikaitkan dengan prestasi pertumbuhan suku ketiga Keluaran Dalam Negara Kasar 2019 sebanyak 4.4 tahun ke tahun – paras paling lemah dalam setahun.

Setakat bulan ini, jumlah aliran keluar bersih asing adalah sebanyak RM594 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast