Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir perbicaraan kes 47 pertuduhan melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 18 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa wujud aktiviti tidak sah yang diketahui oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membabitkan wang sebanyak RM117.25 juta

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran ketika membaca kenyataan pembukaan perbicaraan yakin semua saksi dan bukti yang bakal dikemukakan tidak akan meragukan mahkamah.

“Keterangan saksi dan bukti dokumen tambahan akan menunjukkan bahawa tertuduh percaya atau mempunyai sebab untuk percaya jutaan ringgit wang yang diterimanya daripada aktiviti tidak sah.

“Dalam membuktikan setiap pendakwaan, pihak pendakwaan akan bergantung secara langsung kepada keadaan dan bukti dokumen.

“Berdasarkan kepada bukti yang akan dibentangkan, kami akan menyakinkan mahkamah bahawa kes prima facie melebihi keraguan munasabah,” katanya di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Beliau terdahulu berkata, Zahid sebagai tertuduh dipercayai menyalahgunakan kedudukannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Akal Budi.

Dakwa beliau, sebanyak RM31 juta wang yayasan itu digunakan untuk tujuan peribadinya.

Menerusi pertuduhan ini pihak pendakwaan bakal memanggil 20 saksi, selain bukti berkaitan.

Selain itu, Zahid semasa memegang jawatan Menteri Dalam Negeri pada 2016 hingga 2018 dituduh menerima wang sagu hati RM17 juta daripada beberapa syarikat untuk memberikan tiga kontrak.

“Kesemua kontrak ini diberikan melalui Kementerian Dalam Negeri, pihak pendakwaan akan mengemukakan bukti tertuduh memainkan peranan dalam pemberian tiga kontrak tersebut,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Zahid juga menurut Timbalan Pendakwa Raya didakwa menerima suapan RM4.25 juta daripada seorang individu sebagai dorongan membantu mendapatkan projek My EG di bawah kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Saksi khusus berkaitan tuduhan ini akan melibatkan 15 saksi.

Seterusnya, Zahid dituduh melakukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA) pula, kata Rozela apabila menerima RM65 juta ringgit berbentuk cek daripada beberapa individu yang dikenali dan tidak dikenali.

Cek itu tambahnya, kemudiannya dihantar kepada seorang peguam Muralidharan dari Firma Messrs Lewis & Co untuk tujuan mendepositkannya kepada firma Clients Account.

Sebahagian besar wang berkenaan kemudiannya digunakan untuk didepositkan kepada firma berkenaan manakala RM5.9 juta digunakan untuk membeli dua unit banglo bernilai RM5.9 juta.

“Setiap pembelian adalah dalam pengetahuan tertuduh,” tambahnya. – MalaysiaGazette