Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – “InsyaAllah,” kata Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ditanya sama ada beliau akan menghadiri mesyuarat biro politik parti itu esok.

Terdahulu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media di lobi Parlimen mahu Azmin hadir mesyuarat esok dan memberi penjelasan berhubung pertemuannya dengan sekumpulan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di kediamannya malam tadi.

Mengenai berapa lama beliau tidak menghadiri mesyuarat tersebut, Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, beliau mempunyai komitmen kerja yang tinggi di dalam dan luar negara.

“Saya semak jadual saya, biasanya kalau saya tidak ada apa-apa tugas rasmi saya (akan hadir program parti),” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

BACA: Anwar mahu Azmin bersemuka dengan pimpinan PKR

Menurut Azmin, program kerajaan penting untuk beliau hadiri kerana Pakatan Harapan  (PH)sebagai sebuah kerajaan baharu perlu memperkenalkan apa itu PH baik di dalam mahu pun luar negara.

“Lihat saja di Tanjung Piai, rakyat ramai belum memahami tentang dasar kerajaan PH dan mereka meletakkan harapan supaya kita dapat laksanakan tugas dengan baik. Apabila persepsi itu tidak baik, maka kita dihukum oleh rakyat.

“Sementara program parti penting, program kerajaan juga amat penting untuk kita menyantuni rakyat di bawah,” katanya.

BACA: Banyak persoalan yang perlu Azmin rungkaikan esok

— MalaysiaGazette

TERKINI : Nak Jumpa MP UMNO Marah , Nak Jumpa MP Keadilan Marah