Dr. Ibrahim Ali
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Rakyat berhak tahu apa yang dibincangkan oleh 18 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan enam dari PKR di kediaman Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Putrajaya malam tadi.

Pertemuan itu bukan biasa kerana melibatkan dua kumpulan pemimpin dari parti yang bertentangan hala tuju perjuangannya, iaitu UMNO dan PKR.

Menurut Presiden penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali, pasti ada sesuatu yang misteri dalam pertemuan itu sehingga ia dikatakan membabitkan perbincangan hala tuju negara.

“Jika kedua-dua kumpulan itu membisu, memang mereka pemimpin tidak bertanggungjawab kerana telah mengheret rakyat untuk membuat pelbagai spekulasi yang tidak baik bagi negara.

“Pertemuan itu agak mengejutkan banyak pihak sama seperti terkejutnya rakyat mengenai berita calon Pakatan Harapan (PH) kalah dengan majoriti besar pada pilihan raya kecil Tanjung Piai Sabtu lalu.

“Dalam pertemuan itu pula berlaku selepas dua hari BN dan rakyat meraikan kemenangan calonnya, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Ibrahim, jika pertemuan itu tidak ada apa-apa perkara penting dibincang sebagaimana dakwa Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaafar, kenapa ia diadakan secara tertutup.

Katanya, tingkah laku pemimpin politik hari ini telah memeningkan rakyat, yang mana mereka mengharapkan kehidupan yang lebih baik dari pimpinan baharu dan lama.

“Tetapi, nampaknya pemimpin ini lebih kalut dari rakyat. Mereka ke hulu ke hilir mencari jaminan politik masing-masing.

“Rupanya tidak cukup makan lagi mereka ini walaupun bergaji puluhan ribu ringgit dan ada yang terima pencen tidak sedikit, selain elaun sebagai Ahli Parlimen.

“Ini lebih memalukan terutama di kalangan Ahli Parlimen UMNO yang terlibat kerana begitu rapuh jati diri dan harga diri mereka,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast